KUCHING: Hospital Umum Sarawak (HUS) sentiasa bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan kes keracunan makanan sepanjang Ramadan.
Pengarah HUS, Dr. Ngien Hie Ung, berkata dengan kerancakan penganjuran bazar Ramadan di seluruh pelosok negeri, risiko insiden keracunan makanan tidak dapat dielakkan.

“Pihak hospital telah mengambil langkah-langkah sewajarnya dan bersedia untuk menangani sebarang kejadian serta merawat pesakit sekiranya berlaku kes keracunan makanan.
“Kami juga berharap para peniaga memainkan peranan dalam memastikan kebersihan dan kualiti makanan terus terjamin.
“Manakala orang ramai dinasihatkan supaya lebih berwaspada dalam membeli dan memilih makanan di bazar Ramadan.
Pastikan ia bersih serta dimasak dengan sempurna,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Bazar Ramadan 2025 bertempat di tapak bazar Meditel, HUS, di sini, hari ini.
Tegasnya, kesedaran terhadap pemakanan sihat dan kebersihan perlu dipertingkatkan agar semua umat Islam dapat menjalani ibadah puasa dengan sihat dan selesa.
“Orang ramai juga diingatkan untuk tidak berlebihan dalam menikmati juadah berbuka puasa kerana ia boleh menjejaskan sistem pencernaan.
“Justeru, kita perlu lebih berhati-hati dalam memilih makanan.
Utamakan pemakanan yang seimbang supaya kesihatan kekal terjaga sepanjang Ramadan,” tegasnya.
Beliau juga mengingati golongan yang menghidap penyakit kronik seperti diabetes dan darah tinggi untuk mengawal pemakanan bagi mengelakkan komplikasi kesihatan.
“Pesakit kronik perlu memastikan diet mereka seimbang dan tidak mengambil makanan yang boleh meningkatkan risiko penyakit mereka.
Selain itu, aktiviti fizikal ringan juga boleh membantu mengekalkan kesihatan badan,” tambahnya.
Dalam perkembangan lain, beliau mengesahkan HUS tidak menghadapi masalah kekurangan bekalan darah sepanjang bulan Ramadan.
“Usaha berterusan masyarakat menderma darah amat dihargai dalam membantu memastikan bekalan sentiasa mencukupi.
“Setakat ini, tiada masalah kekurangan bekalan darah di hospital, malah setiap hujung minggu terutama pada hari Ahad, pendermaan darah sentiasa mendapat sambutan yang menggalakkan,” katanya.

