KUCHING: Integriti tinggi dalam kalangan petugas kesihatan di Hospital Umum Sarawak (HUS) yang mengurus peruntukan melebihi RM800 juta setahun tanpa isu rasuah wajar dijadikan penanda aras kepada sektor awam yang lain, kata Timbalan Premier Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian.
Beliau berkata, meskipun berdepan tekanan kerja tinggi serta kekangan sumber, HUS hampir tidak pernah dikaitkan dengan salah guna kuasa melibatkan doktor mahupun jururawat.
“Pernahkah kita mendengar doktor meminta bayaran untuk memotong giliran? Tidak. Jururawat juga tiada isu.
“Ini sesuatu yang wajar kita kaji…bagaimana sistem yang urus dana besar boleh kekal bersih,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Integriti Jabatan Saliran dan Pengairan (DID) Sarawak, di sini, hari ini.
Justeru, kekuatan itu berpunca daripada nilai integriti yang diterapkan dalam latihan serta hubungan berasaskan kepercayaan di antara doktor dengan pesakit.
Mengulas lanjut, Sim berkata di hospital swasta, pesakit sanggup menunggu lama dan membayar lebih, tetapi dalam sistem awam, kita tidak melihat budaya sedemikian.
“Ini menunjukkan nilai dan etika memainkan peranan besar,” katanya lagi.
Dalam masa yang sama, beliau menegaskan bahawa kejayaan HUS bukan sahaja pada aspek perkhidmatan, malah diiktiraf sebagai hospital penyelidikan terbaik di Malaysia.
Katanya, pencapaian itu lebih signifikan memandangkan SGH beroperasi dengan kira-kira 1,000 kakitangan lebih rendah berbanding hospital setara di Semenanjung Malaysia.
“Walaupun kekurangan tenaga, mereka masih mampu menghasilkan penyelidikan bertaraf dunia, termasuk kajian ‘first-in-human’ yang dipilih sebagai satu-satunya di Asia Pasifik,” ujarnya.
Sim dalam masa yang sama merakamkan penghargaan kepada semua penjawat awam atas dedikasi mereka dalam membina Sarawak yang berdaya saing, sambil menegaskan usaha memperkukuh integriti adalah asas kepada pembangunan negeri yang mampan dan dihormati.



