ARTIKEL

Mohamad Kadim ketika ditemui ditemui selepas menyempurnakan Majlis Amanat Naib Canselor 2026 di Dewan Tan Sri Aziz, Kolej Universiti i-CATS, di sini, hari ini.

i-CATS bangun kampus baharu di Telaga Air

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sebanyak empat fakulti telah dikenal pasti untuk dipindahkan ke kampus baharu Kolej Universiti i-CATS yang akan dibina berhampiran Kampung Trombol, Telaga Air dekat sini.

Naib Canselornya, Profesor Emeritus Datuk Ts. Dr Mohamad Kadim Suaidi berkata, kerja-kerja pembinaan kampus berkenaan dijangka bermula sekitar suku ketiga atau suku keempat tahun ini.

“Ketika ini, projek kampus tetap i-CATS tersebut berada pada peringkat reka bentuk dan pihak pengurusan universiti sedang mendapatkan input daripada fakulti yang dikenal pasti untuk berpindah dan menduduki kampus baharu berkenaan.

“Justeru, antara empat fakulti yang telah dikenal pasti untuk menduduki kampus baharu itu adalah Fakulti Kejuruteraan Aeroangkasa, Fakulti Peralihan Tenaga, Fakulti Agroteknologi serta Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Amanat Naib Canselor 2026 di Dewan Tan Sri Aziz, Kolej Universiti i-CATS, di sini, hari ini.

Kampus baharu itu akan dibina di atas tanah berkeluasan 250 ekar yang telah dikenal pasti oleh Kerajaan Sarawak.

“Tempoh pembinaan pula dianggarkan mengambil masa antara tiga hingga tiga setengah tahun,” ujarnya.

Mengenai peruntukan kewangan projek tersebut, Mohamad Kadim memberitahu beliau tidak dapat memperincikan jumlah bajet yang terlibat kerana ia merupakan peruntukan kerajaan.

“Bajet memang sudah ada, namun saya tidak boleh bercakap secara terperinci mengenai jumlahnya,” jelas beliau.

Ketika Istiadat Konvokesyen Ke-27 Kolej Universiti i-CATS tahun lalu, Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memaklumkan kampus baharu milik Kolej Universiti i-CATS itu juga bakal menjadi kampus teknologi universiti tercanggih di rantau ini yang sejajar dengan usaha kerajaan dalam memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi serta pembangunan modal insan negeri.

Menurutnya, pembangunan kampus berskala besar itu memperlihatkan kesungguhan Sarawak dalam menyediakan prasarana pendidikan bertaraf dunia bagi melahirkan generasi muda berpengetahuan, berkemahiran dan bersedia menghadapi cabaran global.

Abang Johari memaklumkan, kampus itu juga akan dibina dengan peruntukan berjumlah RM300 juta dan kini berada pada peringkat akhir penyediaan reka bentuk konsep sebelum proses tender serta pelantikan kontraktor dilaksanakan.

Sementara, Mohamad Kadim menjelaskan kampus sedia ada Kolej Universiti i-CATS di Jalan Stampin Timur di sini pula akan berfungsi sebagai kampus bandar atau city campus memandangkan hanya empat fakulti akan berpindah ke kampus baharu pada fasa pertama.

“Fakulti lain akan kekal di kampus ini kerana ia tidak melibatkan penggunaan teknologi dan kemudahan makmal. Oleh itu, kampus ini akan menjadi kampus bandar kami.

“Insya-Allah, apabila terdapat peruntukan tambahan daripada kerajaan, kami juga merancang untuk membina kampus fasa kedua pada masa hadapan dan memindahkan beberapa lagi fakulti ke sana,” tegasnya.

Kolej Universiti i-CATS kini menawarkan 30 program akademik merangkumi dua program asasi, 10 diploma, tujuh ijazah sarjana muda, enam ijazah sarjana dan lima program PhD.

BERITA LAIN

MK Melugu ungguli anugerah TVPSS

SIMANGGANG: Sekolah-sekolah di Daerah Sri Aman mencatat pencapaian membanggakan apabila meraih pelbagai pengiktirafan pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Digital Peringkat Negeri Sarawak 2026 di Dewan

BERITA TERBARU