ARTIKEL

MOMEN BERSEJARAH... Naib Canselor Kolej Universiti i-CATS, Profesor Emeritus Datuk Ts. Dr. Mohamad Kadim Suaidi (dua kiri) bertukar Memorandum Persefahaman (MoU) dengan wakil Dassault Systèmes di Kuching.

i-CATS, Dassault Systèmes perkukuh teknologi aeroangkasa

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kolej Universiti i-CATS bakal menjadi lokasi Digital Aerospace Showcase pertama di Asia Tenggara menerusi kerjasama strategik dengan Dassault Systèmes bagi memperkukuh pembangunan bakat, penyelidikan dan keupayaan kejuruteraan digital dalam industri aeroangkasa.

Kerjasama yang dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) itu membolehkan platform 3DEXPERIENCE diperkenalkan di bilik kuliah, makmal serta program pembangunan bakat di i-CATS, sekali gus memperkukuh latihan, pembangunan kapasiti dan kerjasama industri dalam sektor teknologi tinggi.

Menurut kenyataan, Digital Aerospace Showcase akan menghimpunkan pemain industri, institusi pendidikan, agensi kerajaan dan orang awam bagi meneroka teknologi reka bentuk, simulasi, kejuruteraan digital serta virtual twin dalam ekosistem aeroangkasa.

Inisiatif itu turut menjadi langkah pertama Dassault Systèmes dalam pelan pembangunan jangka panjangnya di Sarawak, bermula dengan latihan berstruktur dan pembangunan keupayaan di i-CATS sebelum diperluaskan kepada kerjasama industri serta inovasi teknologi tinggi.

MoU berkenaan juga menyokong pengukuhan Fakulti Kejuruteraan Aeroangkasa i-CATS menerusi pembangunan program baharu dalam bidang penyelenggaraan pesawat.

Selain itu, kerjasama tersebut akan memperluas pembelajaran berasaskan aplikasi, penyelidikan dan inovasi termasuk projek berkaitan satelit serta Sistem Pesawat Tanpa Pemandu (UAS).

Pelajar, tenaga pengajar, penyelidik dan profesional turut akan didedahkan kepada kemahiran dalam kejuruteraan digital, simulasi dan teknologi virtual twin yang diiktiraf industri bagi melahirkan lebih ramai tenaga mahir untuk memenuhi keperluan sektor aeroangkasa dan teknologi angkasa di Sarawak.

Naib Canselor Kolej Universiti i-CATS, Profesor Emeritus Datuk Ts. Dr. Mohamad Kadim Suaidi berkata, kerjasama itu merupakan pencapaian penting dalam memperkukuh keupayaan institusi berkenaan, khususnya Fakulti Kejuruteraan Aeroangkasa.

Sementara itu, Pengarah Kanan Customer Process Experience Asia-Pacific South Dassault Systèmes, Patrick Ong berkata, kerjasama itu merupakan langkah awal ke arah merealisasikan aspirasi Sarawak dalam bidang aeroangkasa dan pendigitalan.

“Platform 3DEXPERIENCE membolehkan pelajar mereka bentuk, menguji dan mensimulasikan sesuatu idea sebelum dibangunkan secara fizikal. Inilah asas kepada pembangunan bakat dan keupayaan yang ingin kami bangunkan bersama i-CATS sebelum diperluaskan kepada industri,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama itu bukan sahaja memberi manfaat kepada institusi pendidikan, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan ekosistem aeroangkasa Sarawak melalui penerapan teknologi digital yang digunakan secara meluas di peringkat global.

Inisiatif berkenaan turut menyokong Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030, Dasar Angkasa Negara 2030 serta program legasi APACE 2026 menerusi pelaksanaan program pensijilan, inisiatif bersama dan demonstrasi teknologi.

BERITA LAIN

Politik Semenanjung tidak jejas GPS – Abdul Karim

KUCHING: Pergolakan politik di Semenanjung Malaysia dijangka tidak menjejaskan landskap politik Sarawak menjelang Pilihan Raya Umum Sarawak Ke-13 (PRU-13), dengan perpaduan rakyat dan agenda pembangunan

BERITA TERBARU

Politik Semenanjung tidak jejas GPS – Abdul Karim

KUCHING: Pergolakan politik di Semenanjung Malaysia dijangka tidak menjejaskan landskap politik Sarawak menjelang Pilihan Raya Umum Sarawak Ke-13 (PRU-13), dengan perpaduan rakyat dan agenda pembangunan