Ibadah korban harus patuhi garis panduan

KUCHING: Ibadah korban 2020 dibenarkan untuk dilaksanakan di seluruh Sarawak mengikut kelaziman baharu dan SOP yang d i t e t a p k a n oleh Majlis Islam Sarawak.

Yang Dipertuanya Datuk Misnu Taha (gambar) berkata, ia ditetapkan atas nasihat dan panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.

Katanya, penyembelihan korban hanya dibenarkan dilakukan di rumah penyembelihan, masjid dan surau yang mendapat kelulusan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS).

“Setiap surau dan masjid yang mengadakan ibadah korban mesti menubuhkan jawatankuasa pengelola seperti kita maklumkan kepada semua masjid dan surau,” katanya pada sidang media mengenai garis panduan ibadah korban di Bangunan Majma di sini, semalam.

Misnu menjelaskan, bilangan korban yang disembelih tidak melebihi daripada 10 ekor sehari.

“Jika lebih daripada 10 untuk satu majlis korban, maka perlu dibuat pada hari seterusnya.

‘Ini perlu dititiberatkan kepada semua yang menganjurkan majlis korban.

“Selain itu, pihak jawatankuasa pengelola perlu memastikan tiada jamuan diadakan seperti kebiasaan walaupun majlis korban dibenarkan.

“Bagaimanapun, mereka yang hadir boleh diberikan makanan berbungkus,” ujarnya.

Beliau turut memberitahu, jawatankuasa pengelola majlis korban perlu memeriksa suhu dan nama setiap orang yang hadir ke majlis dan mengamalkan SOP asas seperti di majlis lain.

“Untuk kawasan penyembelihan pula, hanya 10 orang yang dibenarkan.

Begitu juga untuk kawasan pemotongan pembungkusan dan penimbangan dibenarkan 10 orang manakala kawasan proses melapah dibenarkan hanya 20 orang sahaja.

“Hanya 20 orang sahaja dibenarkan untuk menerima agihan korban dan yang lainnya boleh dihantar ke kawasan ibadah korban dilaksanakan,” ujarnya lagi.

Beliau berharap agar setiap masjid dan surau yang mengadakan majlis korban mematuhi SOP bagi memutuskan rantaian Covid-19.

“Kita mampu memerangi rantaian wabak ini jika semua rakyat patuh arahan ditetapkan,” katanya.

Suara Sarawak