Iban, Cina cari menu Melayu

KUCHING: Bazar Ramadan bukan sahaja menjadi tumpuan umat Islam mencari juadah berbuka, tetapi turut menarik kehadiran kaum lain mendapatkan juadah kegemaran mereka.

Tinjauan Suara Sarawak mendapati Bazar Ramadan Metrocity di sini dikunjungi pelbagai kaum untuk membeli juadah berbuka seperti Iban dan Cina.

Ini kerana kepelbagaian juadah seperti nasi ayam, nasi kerabu, laksa Sarawak, laksa Penang, mee jawa, murtabak, ayam panggang, ikan bakar, ayam percik, rojak, kurma, air batu campur (ABC), air tebu dan banyak lagi mampu membuka selera sesiapa sahaja.

Seorang pengunjung berbangsa Iban Jeannie Chundi 39 berkata, dia dan rakannya gemar berkunjung ke bazar Ramadan kerana ia bagaikan pesta makanan sekali setiap tahun.

“Saya dan rakan tidak akan melepaskan peluang untuk datang ke bazar Ramadan kerana pelbagai juadah kegemaran kami pastinya ada dijual.

“Bukan itu sahaja, juadah tidak pernah dirasa juga boleh didapati dan diperolehi di sini,” katanya.

Bagi Christopher Jackson, 28 bazar Ramadan merupakan platform terbaik kaum lain mengenali keistimewaan makanan Melayu.

“Bazar Ramadan menawarkan banyak pilihan makanan dan setiap bazar di negeri ini mempunyai keistimewaan masing-masing.

“Dengan berkunjung ke bazar berlainan yang ada di sini dapat dilihat masing-masing mempunyai cara masakan serta juadah yang berbeza.

“Inilah yang saya mahukan, kelainan dalam setiap hidangan yang dijual,” ujarnya.

Sementara Swan Bella, 35, memuji penganjuran bazar Ramadan di setiap tempat dalam negeri dan negara ini kerana ia merupakan salah satu langkah mengeratkan perpaduan berbilang kaum.

Bagi Andrea Tan, 36, bazar Ramadan boleh dijadikan medium mengeratkan lagi perpaduan kaum di Sarawak.

Andrea Tan

“Rakan-rakan berlainan agama dapat bertemu dan bertanya khabar di sini.

“Selain itu pelanggan dengan pembeli dapat berkenalan dan tidak mustahil pada masa akan datang boleh berhubung lagi untuk mendapatkan juadah dijual walaupun bukan lagi pada bulan Ramadan,” katanya.

Dalam pada itu, Daniel Yap, 42, menasihatkan kepada para peniaga supaya sentiasa menjaga kebersihan makanan yang dijual.

“Sekiranya makanan dijual berkualiti dan bersih, pastinya mereka (peniaga) sendiri mendapat keuntungan.

“Manakala bagi pembeli pula pastikan tidak berbelanja mengikut nafsu sehingga berlaku pembaziran,” nasihatnya.