KUCHING: Bersatu walaupun berbeza pemikiran, ini ditekankan Menteri Utiliti Datuk Seri Stephen Rundi Utom kepada masyarakat Dayak khususnya kaum Iban.

Katanya, orang Iban harus membuang rasa ego dalam kalangan mereka dan bersatu untuk mengukuhkan lagi kemajuan bangsa.

Beliau berkata pada masa ini, konflik dalam kalangan masyarakat Iban dapat dilihat di rumah panjang misalnya, di mana perpecahan berlaku disebabkan perbezaan pemikiran.

“Gara-gara ego, ada sesebuah rumah panjang mempunyai dua tuai rumah.

“Masing-masing menunjukkan siapa paling berkuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap bagi mewakili Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg merasmikan Majlis Makan Malam Kesatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (SDNU) di Pusat Ekumeni Kristial di sini, malam ini.

Hadir sama Presiden SDNU Tan Sri William Mawan Ikom dan Timbalan Presiden SDNU merangkap pengerusi penganjur Majlis Makan Malam SDNU, Dr Johnical Rayong Ngipa.

Selain itu, Rundi berkata komuniti Iban juga harus saling membantu antara satu sama lain, khususnya terhadap golongan yang memerlukan.

Tegas beliau, hanya dengan semangat sedemikian akan dapat membangunkan masyarakat Iban.

“Jangan saling menyalahkan satu sama lain tetapi orang Iban patut bantu orang Iban…kita harus bersatu dalam komuniti,” katanya.

Justeru, Rundi berharap agar Hari Gawai ini dimanfaatkan oleh masyarakat Iban untuk mengeratkan hubungan antara satu sama lain.

“Inilah masa kita membuang yang keruh dan ambil yang jernih. Tinggalkan perkara-perkara yang tidak bagus,” katanya.

Sementara itu, Mawan berharap agar masyarakat Iban menjadikan Hari Gawai untuk memperkenalkan budaya dan adat resam kepada masyarakat luar.

“Jangan lari dari adat dan asal kita dan jangan memburukkan sesama sendiri,” katanya.

Sempena majlis, Rundi turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM50,000 kepada SDNU untuk menjalankan aktiviti.

Suara Sarawak