SELANGAU: Seorang wanita maut manakala anak lelakinya cedera selepas kenderaan dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di jejambat Simpang Mukah-Selangau, di sini, petang tadi.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 5.01 petang.

“Mangsa berusia 41 tahun, merupakan pemandu Perodua Aruz berkenaan tersepit di dalam kenderaan dan disahkan meninggal dunia.
“Anaknya berusia 19 tahun mengalami kecederaan dan dikeluarkan oleh orang awam sebelum dihantar ke hospital.
“Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan menyelamat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mangsa berjaya dikeluarkan sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi kejadian.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi ditamatkan pada jam 5.40 petang selepas keadaan di lokasi kejadian dipastikan selamat dan terkawal.



