PADAWAN: Ibu kepada mendiang Debra Moset akan didaftarkan sebagai penerima bantuan kebajikan bagi memastikan beliau mendapat bantuan dan kemudahan kebajikan yang sewajarnya.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, Renog Rasas, 71, juga akan diberikan Kenyalang Gold Card dan manfaat kesihatan warga emas.

“Ibu mangsa juga dibantu, kita daftarkan sebagai penerima kebajikan; yang masih dalam proses ialah Kenyalang Gold Card dan manfaat kesihatan warga emas,” katanya ketika ditemui selepas menziarahi keluarga mendiang Debra di Kampung Semadang, di sini, hari ini.
Turut hadir, Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin, Ketua Pegawai Eksekutif YKN, Nordina Haron dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Mohd Daud Mohd Arif.
Mendiang Debra merupakan antara mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Baram dalam kejadian pada 8 September lalu.
Selain itu, Nancy yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Kebajikan Negara (YKN) berkata, pihaknya turut bersedia menyediakan perkhidmatan kaunseling sekiranya keluarga memerlukannya bagi membantu mereka menghadapi tempoh dukacita.
“Sebagai kementerian dan jabatan yang bertanggungjawab membantu mereka, kita berasa terpanggil untuk melawat dan menziarahi keluarga mereka.
“Kita berharap mereka diberikan ketenangan dan kalau ada keperluan dari segi perkhidmatan kaunseling, kita sudah bersedia untuk memberikannya,” katanya.
Dalam kunjungan tersebut, Nancy turut menyampaikan bantuan tunai menerusi Pemberian Ehsan kepada Keluarga/Mangsa Bencana (PEKA YKN) sebagai tanda keprihatinan dan sokongan kepada keluarga mendiang.
Terdahulu, pada 18 September lalu, Ketua Setiausaha KPWKM, Datuk Dr. Maziah Che Yusoff telah menziarahi keluarga Allahyarhamah Dr. Ainul Baraah Kamaruddin di Kampung Baung, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan serta menyampaikan bantuan PEKA YKN.
Bantuan sama turut diselaraskan untuk disampaikan kepada keluarga tiga lagi mangsa, iaitu Allahyarham Kapten Zainol Afiq Bee Sham di Senawang, Negeri Sembilan serta keluarga mendiang Alexson Adit Henry dan mendiang Jessie Paya Jok di Miri.
PEKA YKN merupakan bantuan tunai segera kepada keluarga atau waris mangsa bencana dan kejadian tidak diingini bagi membantu meringankan beban mereka ketika menghadapi situasi sukar.

