KUCHING: Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak hari ini merasmikan ibu pejabat baharunya di Petanak, yang disifatkan sebagai simbol keteguhan prinsip serta kesinambungan perjuangan politik parti itu di Sarawak sejak hampir lima dekad lalu.
Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen berkata, bangunan baharu itu bukan sekadar premis pentadbiran, sebaliknya menjadi saksi kepada perjalanan panjang dan penuh cabaran parti berkenaan sejak mula bertapak di Sarawak pada tahun 1978.
“Bangunan ini bukan hanya tentang pejabat baharu atau kemudahan yang lebih baik, tetapi ia menjadi saksi kepada pembangunan, ketahanan dan keazaman DAP Sarawak dalam memperjuangkan prinsip serta suara rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Pembukaan Rasmi Ibu Pejabat DAP Sarawak di sini, hari ini.
Menurut beliau, sepanjang 48 tahun penubuhan DAP di Sarawak, parti itu telah mengharungi pelbagai tekanan dan cabaran yang menguji kekuatannya.
“Kita berdepan dengan kehilangan pemimpin serta perpecahan dalaman, namun tetap kekal bertahan berbanding beberapa parti politik tempatan lain yang akhirnya lenyap daripada landskap politik negeri.
“Banyak parti pembangkang yang berasal dari Sarawak sebelum ini tidak mampu bertahan lama. Ada yang dibubarkan, ada yang akhirnya menyertai kerajaan,” katanya.
Chong turut menegaskan bahawa kelangsungan DAP Sarawak sehingga kini didukung oleh kesetiaan ahli akar umbi, serta penyokong yang terus mempertahankan prinsip parti meskipun berdepan tekanan dan godaan politik.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pending merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur majlis, Violet Yong berkata, pengubahsuaian ibu pejabat tersebut bertujuan memperkukuh keupayaan organisasi agar lebih tersusun, sistematik dan berkesan, khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
“Pembukaan ibu pejabat ini bukan untuk kemegahan, tetapi sebagai persediaan memperkukuh perjuangan dan meningkatkan keupayaan parti sebagai kuasa semak dan imbang yang berkesan,” katanya.
Majlis tersebut turut dihadiri barisan kepimpinan DAP Sarawak, veteran parti serta para penyokong.



