ARTIKEL

Fatimah bercakap pada sidang media Inisiatif Peti Perlindungan Bayi di sini, hari ini.

Ibu tinggal bayi di dalam peti perlindungan diberi tempoh sebulan sekiranya ingin menuntut kembali anaknya

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan peluang tempoh sebulan kepada ibu yang meninggalkan bayi mereka di dalam peti perlindungan bayi sekiranya ingin menuntut kembali anaknya.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah, ia merupakan sebahagian daripada prosedur operasi standard pihaknya yang bukan bertujuan untuk menghukum atau mendedahkan identiti ibu.

“Langkah ini bukan penyelesaian jangka panjang mahupun menggalakkan kehamilan luar nikah atau pembuangan bayi.

“Tetapi ia usaha kemanusiaaan untuk mengelakkan kematian serta memberi peluang kedua kepada ibu yang dalam keadaan sangat terdesak untuk menyelamatkan bayi mereka.

“Tempoh sebulan yang disediakan ini adalah untuk memberi peluang kepada ibu bayi tersebut mempertimbangkan semula keputusan mereka,” katanya pada sidang media Inisiatif Peti Perlindungan Bayi di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kebimbangan awam berhubung usaha Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Kuching mengesan ibu kepada bayi lelaki yang ditinggalkan di Peti Perlindungan Bayi, Pusat Perubatan Borneo (BMC) pada 15 Jun lalu.

Mengulas lanjut ujarnya, langkah itu susulan terdapat kes ibu bayi menuntut semula anaknya sebelum bayi tersebut diambil untuk dijadikan anak angkat.

“Sekiranya tiada tuntutan dibuat dalam tempoh itu, JKM akan mengambil alih penjagaan dan menguruskan pendaftaran kelahiran bayi dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Walaupun tanpa maklumat ibu bapa, sijil kelahiran boleh dikeluarkan. Namun ruangan nama ibu dalam sijil berkenaan akan dinyatakan sebagai tiada maklumat dan bayi mungkin berstatus belum ditentukan dari segi kewarganegaraan.

“Jika bayi tiada kewarganegaraan Malaysia, maka proses pengangkatan menjadi lebih rumit, memerlukan perintah mahkamah dan tempoh penjagaan selama dua tahun,” jelasnya.

Tambahnya, sekiranya bayi tersebut diambil sebagai anak angkat oleh pasangan yang layak, permohonan kewarganegaraan boleh dikemukakan di bawah Perkara 15(A) Perlembagaan Persekutuan.

“Namun, jika ibu kandung tampil membantu dalam proses pendaftaran kelahiran dan bayi disahkan warganegara, maka proses pengangkatan lebih mudah dan boleh dilakukan secara rasmi di hadapan pegawai daerah.

“Segala usaha ini demi memastikan hak serta kepentingan mereka dilindungi untuk menikmati masa hadapan serta persekitaran yang selamat, stabil serta penuh kasih sayang,” tegasnya.

Melalui JKM ujarnya, kerajaan negeri turut menyediakan tempat perlindungan seperti di Taman Seri Puteri, yang menawarkan sokongan untuk remaja mengandung termasuk penjagaan, pendidikan, latihan vokasional, kaunseling dan bimbingan rohani.

Dalam pada itu, beliau menyeru lebih banyak badan bukan kerajaan (NGO), hospital swasta dan pihak korporat untuk tampil menyokong usaha ini, sama ada dengan menyediakan kemudahan sama, menawarkan kaunseling, perlindungan atau menyokong advokasi kesedaran di peringkat akar umbi.

“Inisiatif intervensi terakhir ini diguna pakai oleh pelbagai negara maju, termasuk di Malaysia sebagai pilihan selamat kepada ibu untuk menyerahkan bayi mereka secara rahsia, tanpa risiko undang-undang, dan dalam masa yang sama menjamin keselamatan.

“Kerajaan Sarawak juga terus komited dalam melindungi nyawa, menyediakan ruang pemulihan untuk remaja hamil, menyokong keluarga yang terkesan dan membangun masyarakat lebih penyayang,” katanya lagi.

Untuk rekod, kemudahan peti perlindungan bayi pertama Sarawak diwujudkan oleh KPJ Kuching pada 20 Januari 2017 dan sepanjang tempoh operasi hingga 2020, berjaya menyelamatkan nyawa seramai lima bayi.

Kemudian pada 2023, BMC mula melancarkan inisiatif sama dan setakat ini seramai dua bayi berjaya diselamatkan, iaitu bayi perempuan pada 24 Mac 2024 dan bayi lelaki pada 15 Jun 2025. 

BERITA LAIN

BERITA TERBARU