ARTIKEL

Idam gelaran dunia

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

PETINJU profesional kebanggaan Sarawak, Dealoniel Mcdelon Bong, 25, bakal melangkah setapak lagi selepas mengharungi pertarungan “Path To Glory” Sabtu ini (17 Februari), menentang petinju Bangladesh, Resatul Mahmud Sajin di Kemal Ataturk Park, Banani, Dhaka.


Kemenangan akan menghadiahkan laluan untuk memburu gelaran pada Kejuaraan Tinju Dunia (WBC), Asia di Singapura April depan.

Di atas kertas, Kilat Boy mempunyai peluang yang agak cerah, malah beliau sendiri yakin dengan persiapan rapi melalui latihan intensif hampir 60 hari.

“Saya cukup bersedia, dari segi fizikal dan mental… namun ia adalah satu lagi cabaran bagi saya,” ujarnya.

Berbekalkan ketangkasan, saingan kategori Feather Weight (57.2kg) 6 pusingan itu harus dimanfaatkan Kilat Boy untuk mengubah ranking, daripada dua bintang kepada tiga bintang.

Pengurus pasukan, Gulbudin Hekmateyer Rahman optimis dengan keupayaan Kilat Boy.

“Beliau mempunyai peluang yang lebih baik untuk menang, mengambil kira persiapan rapi, dan rekod serta persembahan pihak lawan. Kilat Boy ada kelebihan,” ujarnya.

Setelah menjuarai kejohanan profesional, Kejuaraan Tinju Dunia 2022 di Lahore Pakistan, Kilat Boy kini memegang tiket untuk meneruskan kariernya di peringkat tertinggi.


Bagaikan ada ‘cahaya di depan mata’ petinju yang lahir di Sri Aman dan membesar di Betong itu, enggan lagi menoleh ke belakang, kerana mahu beraksi di gelanggang yang lebih besar dan lebih bergema sorakannya.

“Saya sentiasa gigih menjalani latihan, sebagai persiapan kejohanan peringkat tempatan dan nasional,” ujar Daelonial.

“Setelah melalui beberapa kejohanan peringkat kebangsaan dan antarabangsa, saya kini mengintai peluang untuk gelaran Asia, Asia Continental, serta kejohanan mega seperti WBC, WBA dan ABF,” katanya.

“Sasaran saya adalah untuk menyertai Sukan SEA, Sukan Komanwel dan sudah pasti Sukan Olimpik,” ujarnya.

Satu-satunya petinju dari Sarawak yang pernah menyertai Sukan Olimpik ialah Sapok Biki, pada temasya Olimpik Atlanta 1996.

Kini kelihatan ada sinar harapan untuk menyaksikan seorang lagi wakil dari Bumi Kenyalang untuk mengibar bendera Malaysia dan Sarawak di persada dunia.

Sapok merupakan inspirasi Daelonial dalam sukan lasak ini.
Dua lagi bintang idolanya ialah legenda tinju dunia, Muhamad Ali (Amerika Syarikat) dan petinju kebanggaan warga Filipina, Manny Paquiao.

“Dalam setiap pertandingan yang disertai saya sentiasa memburu kemenangan… saya akan meneruskan latihan setiap kali selepas pertandingan,” katanya.

Yang pasti, keupayaan menumbangkan “superstar” Pakistan, Sikender Abbasi pada aksi final, Kejuaraan Tinju Dunia 2022 merupakan batu loncatan besar bagi beliau.

Beliau melakukan pukulan Teknikal Knockout (TKO) pada minit kedua dan 48 saat pusingan ketiga dalam pertarungan hebat kategori 57kg tinju profesional di Stadium Lalak Jan, Pakistan.

“Saya amat teruja pada malam itu kerana langsung tidak menjangka pukulan tangan kanan melemahkan lawan,” imbas Daelonial.

Kemudiannya menyusul satu lagi kejayaan, memenangi tali pinggang utama Kejohanan Tinju Persekutuan Asia (ABF) yang berlangsung di Thailand pada 26 Oktober 2023.

Beliau menumbangkan petinju hebat tuan rumah, Altijd Bamrungauea dalam kategori Bantam Weight 54 kg melalui tumbukan TKO pusingan ketiga.

Anak ketiga daripada empat adikberadik itu mula bertinju pada 2014, ketika baru berusia 14 tahun dan mula menyertai pertandingan pada 2015 di Kubah Ria, Kuching.

“Ketika itu, saya cukup gementar, kerana baru pertama kali beraksi… namun segalanya lancar bagi saya, dan saya muncul juara,” katanya mengimbas semula detik manis yang dikecapi hampir sedekad yang lalu.

Sejak itu Daelonial telah pun mengutip lapan pingat emas hingga kini dalam pelbagai kejohanan amatur dan profesional.
Di peringkat profesional, beliau menang lima kali dan tewas dua kali.

Walaupun masih agak baharu, namun beliau sudah mengecapi detik manis dalam mengharungi saingan kompetitif dan mencabar.

“Saya menang tiga kali berturut-turut kejohanan terbesar di Malaysia, Piala Malaysia… ia cukup menggembirakan saya. Sudah pasti kejayaan pertandingan profesional di Pakistan tidak akan saya lupakan,” katanya.

Walaupun sudah menampakkan beberapa kejayaan awal, namun bagi Daelonial, masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki dari semasa ke semasa.

“Saya perlu memperbaharui taktikal dan teknikal, kerana saya agak kurang dua aspek tersebut.
Begitu juga persiapan mental, psikologi, dan beberapa kelemahan lain, saya mesti mengatasinya,” ujarnya.

“Seperkara yang agak merisaukan saya ialah kecederaan… saya perlu mengelaknya, lebih-lebih lagi menjelang pertandingan,” kata Daelonial.

Yang pasti, sukan tinju Sarawak kini hanya menunggu detik yang lebih gemilang dan cemerlang daripada Kilat Boy, jaguh Asia mahupun dunia, dalam pembikinan.

Menurut Sapok, Kilat Boy mempunyai kepantasan dan kecergasan luar biasa, yang jarang ada pada petinju.

“Beliau masih boleh meningkatkan lagi prestasi pada tahap yang lebih tinggi, saya lihat ada potensi dalam dirinya.

Asalkan dia terus gigih berusaha, maka peluang untuknya lebih maju dalam sukan ini adalah cerah,” kata Sapok.

Bagi Persatuan Tinju Sarawak (SABA), kejayaan Kilat Boy harus dijadikan perintis, selepas era Sapok Biki, dalam melahirkan beberapa lagi petinju hebat selepas ini.

BERITA LAIN

Sampah plastik cemar lautan

KETIKA manusia membuang sampah plastik di taman atau pantai, jalan raya, aliran air – aktiviti alam membawa cebisan plastik itu melalui longkang ke sungai untuk

Tradisi Aidilfitri yang hilang

TIDAK dapat dinafikan semakin moden dan membangun sesebuah negara, maka semakin terkorban tradisinya. Malah semakin berkembang teknologi, maka semakin tersisih budaya yang pernah menjadi pegangan

Kosong-kosong

ESOK, umat Islam seluruh Malaysia akan meraikan Hari Raya Aidilfitri. Maka berakhirlah perjuangan sebulan Ramadan. Syawal tiba sebagai hadiah kepada umat Islam yang berjaya menempuh

Lempar batu, sembunyi tangan

APAKAH yang mengecewakan anda sebagai rakyat Malaysia ketika ini? Adakah pertumbuhan ekonomi yang perlahan, pendapatan yang rendah, peningkatan inflasi atau kos sara hidup yang tinggi? Atau

Resolusi 2728

KETIKA Dewan Keselamatan PBB menyetujui resolusi menuntut gencatan senjata segera dikuat kuasa di Gaza, lebih 33,000 rakyat Palestin sudah pun terbunuh dengan hampir 76,000 cedera

Jangan mudah tergoda

TINGGAL beberapa hari lagi, umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Pusat beli-belah kini menjadi tumpuan. Suasana juga begitu sibuk. Setiap tahun kita dapat lihat

BERITA TERBARU

Enam kereta terbakar akibat pembakaran terbuka

LIMBANG: Enam buah kereta di luar bengkel di Jalan Taman Desa Babahanan di sini musnah dalam satu kebakaran disebabkan pembakaran terbuka longgokan kayu berhampiran. Jurucakap

Saingan harga tiket penerbangan ke Sarawak

KUCHING: Pengumuman syarikat penerbangan milik Sarawak yang dijangka beroperasi pada tahun hadapan diharap dapat menurunkan harga tiket kepada anak Sarawak. Adun Tupong Fazzrudin Abdul Rahman