Iftitah tawar pakej ke Bandung

TANJUNG MANIS: Pusat peranginan terkemuka kawasan tengah Sarawak, Iftitah Resort & Restoran melangkah setapak lagi dengan memperkenalkan pakej pelancongan istimewa kepada rakyat Malaysia yang ingin melancong ke Bandung Indonesia melalui Iftitah Tour And Travel Agent.

Pengurusnya, Ibnee Ekni berkata, menerusi pakej itu, pelanggan bukan sahaja dapat ke Bandung dengan kadar yang lebih menjimatkan, bahkan turut dibawa melawat beberapa tempat menarik seperti Tangkuban Perahu, Lembang, Ciwidey, Glamping, Lereng Anteng dan lain-lain lagi.

Dalam memberikan khidmat memuaskan, beliau berkata, Iftitah Resort& Restoran juga menyediakan tempat penginapan terbaik dan selesa sebagai nilai tambah kepada para pelanggan.

 

Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh melancarkan Iftitah Tour And Travel Agent, semalam sambil diperhatikan Ibnee ( dua kanan) dan Pegawai Daerah Tanjung Manis, Udin Ujang (dua kiri)

“Selain tawaran harga yang berpatutan, keselamatan orang ramai yang menyertai pakej ini juga terjamin kerana kita berkerjasama sepenuhnya dengan Media Journalist- Polisi News, agensi keselamatan media yang cukup terkenal di Indonesia.

“Kita merangkumkan harga bagi pengangkutan, makan minum dan keselamatan. Ia tidak termasuk kos penerbangan. Bagaimana pun nilai keseluruhan pakej akan diumumkan selepas Aidilfitri nanti,” katanya kepada Suara Sarawak selepas majlis pelancaran pakej itu di Pantai Iftitah Belawai, semalam.

Majlis pelancarannya disempurnakan oleh Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh.

Pantai Iftitah Belawai sesuai menjadi tempat santai hujung minggu

Ibnee berkata, kunjungan pelancong ke Bandung sudah tentu dapat merancakkan lagi sektor pelancongan sekaligus mengeratkan hubungan antara kedua-dua buah negara.

“Melalui pendekatan ini, kita juga memperkenalkan sesuatu yang cukup istimewa khususnya, budaya masyarakat Sarawak kepada orang luar,” katanya.

Iftitah Resort semakin popular di mata pelancong dari dalam dan luar negara kerana memperkenalkan pelbagai pendekatan unik termasuk menyediakan percutian santai kepada pengunjung untuk menikmati suasana tenang pantai Belawai.

Mengenai kemudahan lain, Ibnee berkata, pihaknya juga menyediakan tempat penginapan supaya pengunjung berpeluang menikmati percutian dalam suasana tenang dan selesa.

“Selain tempat penginapan sedia ada, kita menyediakan tiga lagi chalet baharu dengan kadar sewa RM90 hingga RM120. Kesemua chalet ini sudah dilengkapi dengan penghawa dingin bagi keselesaan pengunjung.

“Pada masa sama, kita juga menyediakan pelbagai sajian yang menyelerakan selain prasarana lain yang sesuai untuk pelbagai kegiatan sama ada membabitkan individu, keluarga, persatuan mahupun pelajar,” katanya.

Iftitah menyediakan tempat penginapan yang selesa kepada pengunjung
Pusat peranginan ini juga boleh menjadi pusat pelbagai kegiatan sama ada membabitkan individu, keluarga, persatuan mahupun pelajar.