KUALA LUMPUR: Institut Kajian dan Latihan Integrasi Nasional (IKLIN) perlu diperkasa sebagai pusat kecemerlangan dan rujukan nasional dalam bidang perpaduan, integrasi nasional serta pembinaan negara bangsa menjelang 2027.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, usaha itu memerlukan transformasi institusi, pengukuhan penyelidikan serta kerjasama strategik dengan institusi akademik dan organisasi pemikir dasar dalam dan luar negara.
“LPI perlu berperanan sebagai badan penasihat strategik dan rakan pemikir (strategic think tank) kepada IKLIN. Peranan IKLIN juga perlu diperkasa selaras dengan mandat Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) di bawah Strategi D.1.1, iaitu Memperkukuh Integrasi dan Perpaduan Nasional,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan watikah pelantikan 20 ahli Lembaga Penasihat Institut Kajian dan Latihan Integrasi Nasional (LPI) bagi sesi 2026-2028 di Jabatan Muzium Malaysia, hari ini.
Menurut Aaron, lima hala tuju strategik digariskan bagi memastikan IKLIN kekal relevan dan berdaya saing, merangkumi transformasi institusi dan penjenamaan semula, penandaarasan model institusi antarabangsa, peluasan kerjasama akademik, pengukuhan ekosistem data terbuka serta agenda penyelidikan masa hadapan.
Kerjasama akademik itu melibatkan universiti tempatan dan antarabangsa, institusi penyelidikan serta organisasi pemikir dasar melalui memorandum persefahaman (MoU), termasuk dalam penyelidikan bersama, pertukaran kepakaran, penerbitan ilmiah dan pembangunan modul latihan.
Pengukuhan ekosistem data terbuka pula akan dilaksanakan melalui kerjasama dengan Kementerian Ekonomi dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Bagi agenda penyelidikan, IKLIN perlu memberi tumpuan kepada isu seperti polarisasi sosial, politik identiti, jurang generasi, mobiliti sosial, literasi digital, kecerdasan buatan (AI) dan daya tahan masyarakat.
Aaron berkata, kepakaran merentas sektor dalam kalangan anggota LPI mampu membantu IKLIN mengenal pasti pendekatan terbaik untuk menangani isu perkauman, ucapan kebencian, konflik sosial serta cabaran lain yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.
Beliau berharap LPI dapat membantu merangka Pelan Strategik IKLIN yang menetapkan sasaran, petunjuk prestasi utama (KPI) dan hasil yang jelas, selaras dengan aspirasi RMK13 serta agenda pembinaan negara bangsa.
Seramai 20 individu daripada kalangan ahli akademik, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dilantik menganggotai LPI bagi sesi 2026-2028, berperanan memberikan nasihat dan syor penambahbaikan dalam bidang latihan, penyelidikan serta pembangunan kompetensi perpaduan dan integrasi nasional.



