KUCHING: Kira-kira 6,000 jemaah menyertai Ijtimak Zon Sarawak 2026 yang berlangsung selama tiga hari dari 2 hingga 4 Oktober di Markaz Tabligh Kuching, Surau Darul Muttaqin, Jalan Depo Link, di sini.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkenan hadir ke majlis penangguhan ijtimak berkenaan pada 10.30 pagi, hari ini.

Ketibaan beliau disambut Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha; Mufti Sarawak, Sahibus Samahah Datu Khalidi Ibrahim; serta Syura Jemaah Dakwah Malaysia, Maulana Abdul Hamid Chin.
Turut hadir Timbalan Imam Besar Sarawak, Sahibul Fadilah Ustaz Mohamad Ihsan Haidzir; Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Agama Islam Sarawak, Wan Shaifuddin Wan Madihi; dan Ketua Pegawai Eksekutif Darul Hana Quranic Centre, Majlis Islam Sarawak, Mohamad Shalahudin Marzuki.
Pada majlis itu, Tun Wan Junaidi turut mendengar Bayan Hidayat yang disampaikan Amir Syura Jemaah Dakwah Malaysia, Tuan Abdullah Chong.
Bayan berkenaan menyentuh kepentingan memperkukuh iman, meningkatkan amal ibadah dan usaha dakwah serta menghayati tanggungjawab umat Islam dalam kehidupan seharian.
Ijtimak Zon Sarawak menghimpunkan jemaah daripada pelbagai kawasan bagi mengikuti pengisian ilmu, tazkirah, solat berjemaah serta program pengukuhan ukhuwah sesama umat Islam.
Penganjuran ijtimak itu turut menjadi wadah memperkukuh kefahaman dan penghayatan terhadap ajaran Islam, menyemarakkan usaha dakwah dan pembentukan akhlak serta mempererat hubungan silaturahim dan persaudaraan dalam kalangan umat Islam.

