DARO: Ikan betutu seberat 1.5 kilogram (kg) membawa tuah kepada Mohamad Elsyamaniezar Isuandi apabila hasil pancingannya melayakkan beliau dinobatkan sebagai juara kategori bot pada Pertandingan Memancing Muara Lassa Daro edisi sulung, semalam.
Kejayaan itu membolehkan beliau yang mewakili pasukan dari Kampung Badong membawa pulang wang tunai RM4,000 selepas mengetepikan pencabar lain dalam pertandingan yang berlangsung di Jeti Muara Lassa.
Tempat kedua kategori berkenaan menjadi milik Hafiq Afizan Ismail yang menerima hadiah RM3,000, manakala Raimi Razali menduduki tangga ketiga dengan membawa pulang wang tunai RM2,000.
Sementara itu, kategori individu menyaksikan Hamka Merjang dari Kampung Belawai muncul juara menerusi tangkapan ikan senangin seberat 0.6 kg, sekali gus melayakkannya memenangi hadiah wang tunai RM2,000.
Ahmad Besungo dari Kampung Nangar Besar menduduki tempat kedua selepas memperoleh tangkapan seberat 0.36 kg untuk menerima RM1,000, manakala Mohd Khaizal Manan dari Mukah berada di tempat ketiga dengan tangkapan 0.34 kg dan membawa pulang RM700.
Pertandingan anjuran Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N.43 Daro itu berlangsung dari 7.30 pagi hingga 3 petang dengan menghimpunkan pemancing dari beberapa kawasan, termasuk Daro, Sibu, Mukah, Sarikei dan Bintangor.
Penyertaan pemancing dari pelbagai daerah itu turut memeriahkan penganjuran sulung berkenaan, sekali gus menjadikan Jeti Muara Lassa sebagai tumpuan peminat sukan memancing sepanjang program berlangsung.
Secara keseluruhan, pertandingan itu menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM14,800 bagi kedua-dua kategori, iaitu bot dan individu, dengan peserta bersaing untuk memperoleh tangkapan terbaik.

