SPAOH: Penganjuran Pesta Buntal (PUFFEST) di Kampung Mangut terus membuktikan impaknya sebagai pemangkin pembangunan ekonomi luar bandar apabila bukan sahaja berjaya mengangkat ikan buntal sebagai produk makanan unik Sarawak, malah meningkatkan nilai komersial hasil sungai itu sehingga memberi pulangan lebih lumayan kepada komuniti nelayan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata sebelum ini ikan buntal spesies Yellow Puffer Fish hanya dijual sekitar RM3 seekor.
“Namun, hasil promosi berterusan menerusi PUFFEST serta sambutan yang semakin menggalakkan, harga ikan tersebut kini meningkat kepada antara RM13 hingga RM18 seekor.
“Perubahan ini membuktikan usaha mempromosikan ikan buntal sebagai produk pelancongan dan makanan tempatan berjaya menambah nilai kepada hasil sungai, sekali gus meningkatkan pendapatan nelayan.
“Itulah antara matlamat utama penganjuran PUFFEST, iaitu mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi kepada masyarakat setempat,” katanya ketika merasmikan PUFFEST 2026 di Kampung Mangut, semalam.
Menurut beliau, peningkatan harga ikan buntal bukan sahaja memberi manfaat kepada nelayan, malah membuka peluang kepada lebih ramai usahawan tempatan untuk mengembangkan perniagaan berasaskan produk sungai serta industri pelancongan.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Datuk Dr Mohamad Razi Sitam, berkata PUFFEST 2026 yang membawa tema Seiring Sejalai mendapat sambutan amat menggalakkan daripada masyarakat serta para usahawan.
Katanya, Regata Saribas yang menjadi acara utama PUFFEST 2026 berjaya menarik penyertaan 11 pasukan, sekali gus membuktikan sukan tradisional itu masih kekal relevan dan terus mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.
“Pertandingan Battle of the Band pula disertai sembilan kumpulan yang bukan sahaja menjadi pentas mencungkil bakat baharu, malah membantu mengembangkan industri seni dan muzik tempatan.
“Selain itu, acara ‘nyagang’ menerima 15 penyertaan, manakala sebanyak 120 gerai jualan beroperasi sepanjang pesta berlangsung,” tambahnya.
Beliau berkata sambutan memberangsangkan itu mencerminkan keyakinan para usahawan terhadap potensi PUFFEST sebagai platform menjana pendapatan, memperluaskan pasaran produk tempatan serta merancakkan aktiviti ekonomi di kawasan luar bandar.
Razi yakin PUFFEST akan terus berkembang sebagai acara tahunan berprestij yang mampu memperkukuh sektor pelancongan, memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), selain menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi di Daerah Kecil Spaoh serta kawasan sekitarnya.
Turut hadir Ahli Parlimen Betong, Datuk Dr Richard Rapu; Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Roseline Mapong Sabai; Residen Bahagian Betong, Datuk Richard Michael Abunawas; serta Pegawai Daerah Betong, Laga Kueh.



