KOTA SAMARAHAN: Ikan terubuk bakal menjadi tarikan utama Pesta Terubuk Lan Berami Nge Sadong pada 22 hingga 24 Mei 2026 menerusi pelbagai aktiviti serta jualan berasaskan sumber laut itu bagi memartabatkan identiti masyarakat Sadong.
Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS),Abang Ismawi Abang Ali berkata, pesta di Panggung Udara Pekan Warisan Sadong Jaya itu turut menjadi platform mengangkat keunikan masyarakat melalui pengisian aktiviti kebudayaan, warisan tempatan, keusahawanan dan sukan rakyat.
“Kemuncak festival adalah Pesta Ikan Terubuk yang akan berlangsung pada hari terakhir acara selepas majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan merangkap ADUN Sadong Jaya, Datuk Aidel Lariwoo.
“Program ini bakal menampilkan jualan khas ikan terubuk yang menawarkan kupon diskaun RM10 kepada pengunjung pada 24 Mei 2026 sebagai acara utama, selain Pertandingan Masakan Bertemakan Ikan Terubuk,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Pesta Terubuk Lan Berami Nge Sadong 2026 serta Festival Makanan dan Budaya Samarahan (SFCF) di Perpustakaan Awam Kota Samarahan, di sini hari ini.
Menurutnya, nama Lan Berami Nge Sadong yang membawa maksud Mari Bersama di Sadong mencerminkan semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum yang menetap di kawasan berkenaan.
“Langkah ini secara tidak langsung mempromosikan budaya serta warisan masyarakat Sadong Jaya dan kepelbagaian etnik tempatan seperti Melayu, Cina, Iban, Bugis serta Jawa.
“Ia turut mengetengahkan bakat tempatan melalui pertandingan nyanyian dan fesyen selain menggalakkan gaya hidup sihat melalui aktiviti sukan serta aerobik, sekali gus menyediakan platform hiburan sihat untuk semua lapisan masyarakat,” jelasnya.
Selain itu, katanya, pengisian program turut merangkumi Pertandingan Kopi ‘O’ Citarasa Aidel, pertandingan ulam-ulaman, pertandingan karaoke dewasa dan kanak-kanak, serta cabaran aerobathon.
“Aktiviti lain termasuk pertandingan mewarna bagi kanak-kanak, golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas, serta pertandingan bertandak,” ujarnya.
Beliau menambah, sebanyak 12 agensi kerajaan mengesahkan penyertaan dalam pameran sempena festival itu, selain Jualan Rahmah serta jualan makanan dan minuman.
“Bagi memeriahkan lagi pesta ini, pengunjung juga akan disajikan dengan persembahan artis jemputan seperti Faris Malek, Nurul Zakya, Winnie Albert dan Ayai Ilusi,” tambahnya.
Katanya lagi, festival tersebut mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan serta dianjurkan bersama Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) N24 Sadong Jaya.



