PADA 20 Julai lalu, seorang nelayan dari Kampung Perpat, Kabong yang lebih dikenali sebagai Ogok terselamat daripada serangan buaya ketika menangkap udang kecil di Sungai Krian berhampiran Rumah Panjang Galing.
Peristiwa itu mengingatkan ramai kepada pepatah Melayu, berpantang maut sebelum ajal.
Dalam situasi begitu mencemaskan, ketika paha kanannya digigit seekor buaya besar berwarna hitam, Ogok tidak mempunyai banyak pilihan.
Tanpa berfikir panjang, dia menyucuk mata reptilia ganas itu menggunakan tangannya.
Tindakan spontan itu akhirnya menyebabkan buaya berkenaan melepaskan gigitannya, sekali gus memberi peluang kepada Ogok menyelamatkan diri. Kisah keberanian Ogok menarik perhatian ramai kerana ia mengulangi satu nasihat yang sering dikongsi pakar hidupan liar di seluruh dunia.
Jika seseorang sudah berada dalam cengkaman buaya dan tiada pilihan lain, menyerang bahagian mata reptilia itu boleh menjadi ikhtiar terakhir memaksanya melepaskan gigitan. Namun, sejauh manakah kaedah itu benar-benar berkesan?
Hakikatnya, tidak ramai mangsa serangan buaya berpeluang bertindak balas.
Dalam kebanyakan kes, serangan berlaku secara mengejut dan pantas sehingga mangsa tidak sempat mempertahankan diri.
Apatah lagi apabila berhadapan haiwan yang mempunyai rahang sangat kuat dengan daya gigitan antara paling tinggi dalam dunia haiwan.
Walaupun begitu, terdapat beberapa kes di Malaysia dan luar negara yang membuktikan tindakan menyasarkan mata buaya atau aligator pernah menyelamatkan nyawa mangsa.
Antara kes paling terkenal berlaku pada 11 November 2019 di Cape York, Queensland, Australia.
Menurut laporan ABC News, renjer hidupan liar, Craig Dickmann, 54, sedang memancing bersendirian di Captain Billy Landing apabila diserang seekor buaya air masin sepanjang kira-kira 2.5 meter. Buaya itu menggigit pahanya sebelum cuba menariknya ke dalam air. Dalam pergelutan itu, tangan kanannya turut cedera serius.
Menyedari nyawanya berada di hujung tanduk, Craig menggunakan tangan kirinya untuk menyucuk mata buaya tersebut.
Tindak balas itu menyebabkan reptilia berkenaan melepaskan gigitannya, sekali gus membolehkan Craig menyelamatkan diri. Walaupun cedera parah, Craig masih mampu memandu lebih sejam ke stesen renjer berhampiran untuk mendapatkan bantuan sebelum diterbangkan ke hospital
Perkhidmatan ambulans Queensland menyifatkan tindakannya sebagai perjuangan hidup atau mati, selain menganggap menyasarkan mata buaya sebagai ikhtiar terakhir yang berjaya menyelamatkan nyawanya.
Di Amerika Syarikat, satu lagi kejadian hampir sama berlaku di Port St. Lucie, Florida.
Menurut laporan WPTV, Eugene Johnson diserang seekor aligator sepanjang kira-kira lapan kaki ketika berjalan bersama anjing peliharaannya berhampiran sebuah terusan.
Aligator itu menggigit kaki kanannya sebelum cuba menarik mangsa ke dalam air sambil melakukan putaran maut, iaitu teknik yang digunakan buaya dan aligator untuk merobek mangsa. D
alam keadaan panik, Johnson bertindak mencucuk mata aligator menggunakan jarinya.
Tindakannya berjaya menyebabkan reptilia itu melepaskan gigitan sebelum berenang meninggalkan kawasan itu. Johnson bagaimanapun cedera serius dan menerima 62 jahitan pada kaki kanannya.
Satu lagi kes berlaku di Tiger Creek Canal, Polk County, Florida pada Mac 2025.
Seorang wanita yang sedang berkayak diserang seekor aligator sehingga lengan mangsa digigit. Mangsa bernasib baik apabila seorang lelaki yang berada berhampiran bertindak pantas membantu dengan menyucuk mata reptilia itu.
Tindakan itu menyebabkan aligator melepaskan mangsa.
Wanita berkenaan cedera serius, namun terselamat daripada maut hasil bantuan berkenaan.
Kejadian-kejadian tersebut menunjukkan mata antara bahagian paling sensitif buaya. Walaupun bukan jaminan untuk menyelamatkan diri, tindakan itu mampu mencetuskan tindak balas refleks yang menyebabkan haiwan tersebut melepaskan gigitan.
Mengapa mata buaya begitu sensitif? Menurut pakar hidupan liar, walaupun buaya mempunyai kulit yang tebal, sisik keras dan rahang sangat kuat, bahagian mata kekal sebagai organ lembut serta kurang dilindungi.
Mata buaya mengandungi banyak hujung saraf yang menjadikannya sangat sensitif terhadap sentuhan, tekanan dan kecederaan. Penglihatan pula deria yang amat penting bagi buaya. Reptilia itu bergantung kepada mata untuk memburu mangsa, mengesan pergerakan, mengenal pasti ancaman dan mempertahankan diri.
Sekiranya mata dicederakan, keupayaan buaya memburu serta kelangsungan hidupnya boleh terjejas. Disebabkan itu, apabila mata disentuh atau diserang, buaya lazimnya akan bertindak secara refleks untuk melindungi organ tersebut. Reaksi spontan itu boleh menyebabkan ia mengalihkan kepala, membuka rahang atau melepaskan gigitan.
Bagaimanapun, pakar menegaskan tindakan menyasarkan mata buaya hanya wajar dilakukan apabila mangsa benar-benar berada dalam cengkaman reptilia itu dan tiada jalan lain menyelamatkan diri.
Elak bertembung buaya Ia bukan kaedah yang dijamin berjaya kerana setiap serangan berlaku dalam situasi berbeza, bergantung pada saiz buaya, lokasi serangan, keadaan mangsa serta tahap agresif haiwan tersebut.
Hakikatnya, langkah terbaik ialah mengelakkan pertembungan dengan buaya sejak awal.
Mata buaya sendiri antara organ yang paling menakjubkan dalam dunia reptilia. Buaya memiliki penglihatan sangat baik, khususnya pada waktu malam.
Keupayaan itu disebabkan kewujudan tapetum lucidum, iaitu lapisan pemantul cahaya di belakang retina yang membolehkan lebih banyak cahaya dipantulkan semula ke retina.
Ciri itu meningkatkan keupayaan penglihatan dalam keadaan malap dan menyebabkan mata buaya kelihatan bersinar apabila disuluh lampu pada waktu malam.
Selain itu, buaya mempunyai membran niktitan, iaitu kelopak mata ketiga yang lut sinar. Membran ini bertindak seperti gogal semula jadi yang melindungi mata daripada pasir, lumpur, ranting dan objek tajam ketika reptilia itu menyelam atau memburu di dalam air tanpa menghalang penglihatan sepenuhnya.
Bentuk anak mata buaya menegak, hampir menyerupai mata kucing turut membantu mengawal jumlah cahaya yang memasuki mata. Ini membolehkan buaya melihat dengan baik sama ada pada waktu siang mahupun malam, walaupun kebanyakan spesies lebih aktif memburu ketika cahaya malap, terutama pada waktu senja dan malam.
Satu lagi keunikan ialah kedudukan mata, hidung dan telinga yang terletak di bahagian paling atas kepala.
Susunan anatomi ini membolehkan buaya melihat keadaan sekeliling, bernafas dan mendengar walaupun hampir keseluruhan badannya tenggelam di dalam air.
Ciri itu menjadikan buaya pemangsa yang sangat berkesan kerana mampu menghendap mangsa tanpa mudah dikesan. Ketika menelan mangsa yang besar pula, mata buaya kadangkala kelihatan sedikit terbenam.
Keadaan itu berlaku kerana otot pada bahagian kepala membantu menolak makanan ke dalam tekak, sekali gus memberi tekanan pada bahagian mata.
Walaupun kedengaran luar biasa, mekanisme itu sebahagian daripada sistem pemakanan reptilia berkenaan. Kes Ogok di Sungai Krian membuktikan, dalam keadaan hidup atau mati, naluri manusia mampu mendorong tindakan luar jangka.
Walaupun menyucuk mata buaya pernah menyelamatkan beberapa mangsa di Malaysia, Australia dan Amerika Syarikat, pakar tetap mengingatkan tindakan itu hanya pilihan terakhir apabila seseorang benar-benar berada dalam cengkaman reptilia itu. Pencegahan tetap langkah paling berkesan.
Orang ramai yang menjalankan aktiviti di sungai atau kawasan habitat buaya disaran sentiasa berwaspada, mematuhi papan tanda amaran dan mengelakkan sebarang tindakan yang boleh mengundang risiko.
Dalam kebanyakan keadaan, menjauhkan diri daripada habitat buaya jauh lebih selamat daripada terpaksa bergelut dengan pemangsa purba yang telah menghuni bumi sejak jutaan tahun lalu.






