BINTULU: Institut Kemahiran MARA (IKM) Bintulu disifatkan sebagai “kilang bakat TVET” yang melahirkan tenaga mahir berdaya saing untuk negara.
Datuk Hajah Rubiah binti Haji Wang, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata TVET bukan pilihan kedua sebaliknya laluan emas masa depan anak muda.


Sejak ditubuhkan 14 tahun lalu, IKM Bintulu menjadi mercu pendidikan kemahiran dalam bidang minyak dan gas, elektrikal dan fabrikasi.
Lebih 3,000 permohonan terkini membuktikan keyakinan masyarakat terhadap kualiti institusi ini.


Kerjasama dengan syarikat seperti PETROS, Shell dan Sarawak Energy pula melonjakkan kebolehpasaran graduan sehingga 94 peratus, selain kejayaan 14 pingat emas di pentas inovasi antarabangsa.
Rubiah ketika lawatan kerja ke IKM Bintulu menegaskan, aspirasi TVET Madani yang diumumkan Perdana Menteri melalui Skim Pembiayaan Perkasa TVET dan Dana Latihan TVET memastikan belia luar bandar, B40 dan M40 tidak ketinggalan.


Statistik menunjukkan kadar kebolehpasaran graduan TVET mencecah 95.6 peratus, dengan majoriti memperoleh pendapatan melebihi gaji minimum.
Beliau turut berpesan agar pelajar MARA berani melangkah, tidak takut gagal dan berdisiplin demi kejayaan.

Pada majlis sama, beliau menyampaikan surat tawaran Diploma Industry in Integrated Plant Operations kepada lapan pelajar IKM Bintulu.
Turut hadir, Ajar @ Siti Ajar binti Yasin, Ahli Majlis MARA, Ir. Dr. Mahzan bin Teh, Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) MARA, Ir. Haji Nuriman bin Yusop, Pengarah Bahagian Kemahiran Teknikal MARA, Shahrizal bin Saderi, Pengarah Bahagian Pendidikan Menengah MARA; A. Razu bin Abdul Razak, Pengarah MARA Negeri Sarawak, Mohd Syukri bin Abdullah, Pengarah IKM Bintulu dan Amiruddin bin Mohd Ghazali, Pengetua MRSM Bintulu.

