KOTA SAMARAHAN: Aspek ilmu kemanusiaan perlu dititikberatkan dalam melahirkan generasi muda pada masa hadapan, selain mengutamakan bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) kata Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Dr Hazami Jahari.
Ilmu kemanusiaan melibatkan bidang akademik termasuk aspek masyarakat, budaya, bahasa, sejarah dan pemikiran manusia menggunakan kaedah kritikal serta analitikal berbanding sains empirik.
Menurutnya, pembangunan sesebuah generasi tidak dapat bergantung kepada ilmu teknikal, sains dan teknologi sahaja.

“Tidak dinafikan kepentingan dasar kerajaan sekarang yang mengutamakan subjek-subjek berkaitan ekonomi, kewangan, STEM dan seumpamanya.
“Namun, jiwa akan menjadi kosong dan pembangunan sesebuah generasi akan menjadi lumpuh sekiranya tidak menekankan ilmu kemanusiaan.
“Justeru, penyediaan fakulti berkaitan bahasa, kebudayaan dan kesusasteraan seperti yang terdapat di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) mampu melengkapkan usaha melahirkan seorang sarjana berjiwa dan berperikemanusiaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Asia Tenggara (SAKAT) 2026 di Dewan Seminar, Pusat Islam Tun Abang Salahuddin (PITAS) UNIMAS di sini, hari ini.
Beliau turut meluahkan keyakinan bahawa SAKAT2026 mampu mengangkat nilai kemanusiaan melalui aspek sastera.
“Usaha ini bakal memberi manfaat kepada semua menerusi seminar berprestij antarabangsa melibatkan pembentangan dari Indonesia, Singapura, Brunei dan Malaysia itu.
“Persidangan tersebut akan mengupas isu berkaitan bahasa, sastera dan penulisan kreatif bagi meningkatkan lagi keupayaan dan daya memandaikan anak bangsa.
“Ia meletakkan semula ilmu kemanusiaan khususnya bahasa, sastera, budaya ini di hati generasi muda,” katanya.
Hadir sama Ahli Lembaga Pengelola DBP Datuk Dr Jeniri Amir; Naib Canselor UNIMAS Ahmad Hata Rasit dan barisan tetamu kehormat yang lain.



