ARTIKEL

Imam besar, nada unik dan fotograf

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MEMBESAR dengan khutbah dan solat Jumaat yang diimamkan beliau, nama Ustaz Nahrawi Abdul Rahman pasti tidak akan terhakis.

Bukan untuk penulis seorang, tetapi ramai yang seusia dan lebih tua, yang dahulunya menunaikan solat Jumaat dan hari raya di Masjid Bahagian Kuching dan Masjid Jamek.

Ustaz Nahrawi memiliki nada dan lantunan suara yang unik

. Malah ketika menyampaikan doa dan khutbah, irama tersebut terngiang-ngiang dan sukar ditandingi

. Inilah signature tokoh yang menjadi Imam Besar Sarawak untuk lebih sembilan tahun ini.

Justeru, tidak hairanlah ketika beliau menghembuskan nafas terakhir pada jam 7.42 malam Sabtu lalu, ramai yang menziarahinya.

Malah ramai yang menzahir rasa sedih, apatah lagi dalam kalangan ribuan itu, ramai merupakan bekas penuntut kelas al-Qurannya.

Menurut Dr Kamil Salem, inidividu yang rapat dengan beliau, irama istimewa Ustaz Nahrawi itu sebenarnya berasal daripada seorang pelantun suara dari Mesir.

Dan ia melekat untuk diikuti oleh Ustaz Nahrawi, kerana sesuai dengan nada suaranya yang tinggi.

Ketika menghembuskan nafas terakhirnya di Pusat Perubatan Borneo, Sahibul Fadilah Dato Haji Nahrawi Abdul Rahman berusia 89 tahun.

Biar telah lama bersara sebagai Imam Besar, beliau masih melaksanakan tugasnya sebagai pakar rujuk dan menjadi penasihat imam negeri.

Beliau dilantik sebagai Imam Besar Negeri pada usia 63 tahun, dan meneruskan peranan itu sehingga usianya 72 tahun.

Dan peranan ini termasuklah menjadi pembaca doa pada majlis-majlis rasmi.

Beliau ialah pilihan utama Ketua Menteri pada waktu itu, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Itu juga menjadi faktor beliau amat dikenali dan dihormati seterusnya.

Ketika era beliaulah, tepatnya pada tahun 2003, pemegang jawatan Imam Besar mula dikurniakan pingat Kebesaran Negeri, Darjah Panglima Setia Bintang Sarawak yang membawa gelaran “Dato” dan disediakan kenderaan khas serta dengan pemandu.

Ini kerana peranan pentingnya yang bukan sahaja mengemudi upacara keagamaan, malah menjadi pemula sesuatu majlis.

Menurut Dr Kamil, Ustaz Nahrawi sendiri tidak menjangka beliau akan dihargai sedemikian rupa.

Malah ketika kenderaan rasmi jabatan mula menjemputnya di rumah, beliau kekok, dan bertanya kepada Dr Kamil, kenapa dan apa tujuan kenderaan itu menjemputnya?

Ia memang kejutan besar baginya.

Tidak ramai yang tahu bahawa Ustaz Nahrawi sebenarnya bermula sebagai seorang jurugambar.

Beliau merupakan jurugambar perkahwinan bersama-sama kawan karibnya ketika itu, Othman Abon.

Mengimbas kenangan itu, Othman, 85 tahun, mengakui mereka berdua agak popular kerana kemahiran tersebut di Kampung Sungei Bedil Besar dan sekitarnya.

Hampir saban minggu mereka ditempah untuk merakam gambar, yang ketika itu masih menggunakan warna hitam putih.

Othman menggunakan kamera jenis Canon, manakala Ustaz Nahrawi memiliki kamera jenis Royflex.

Mereka laris bukan sahaja untuk merakam momen indah perkahwinan atau majlis keluarga, tetapi menjadi rebutan setiap kali sambutan Aidilfitri.

Ketika itu setiap petik atau snapshot yang mengandungi empat keping gambar dan akan dikenakan bayaran $2 dolar.

Biasanya setiap keluarga mengambil 10 set gambar sempena Aidilfitri.

Pun begitu kedua-duanya tidak menjadikannya kerja tetap, kerana mereka ada kerja lain.

Pada waktu itu, kata Ustaz Nahrawi kepada Dr Kamil, apabila sampai sahaja jurukamera ke rumah pelanggan, keluarga yang terlibat sudah bersedia dengan pakaian hari raya yang indah dan kemas.

Namun sebelum sesi bermula, lazimnya jurugambar akan dihidangkan jamuan hari raya terlebih dahulu.

Kata Dr Kamil minat menjadikan Ustaz Nahrawi melekat dengan kamera sejak usia muda.

Malah ia terus diasah ketika Ustaz Nahrawi menuntut di Madrasah Al Junaid Al Islamiyah di Singapura.

Bersamasama beliau pada waktu itu ialah Datuk Anis Abot (kemudian Pengerusi Majlis Islam Sarawak) dan mereka pernah membuat kerja sambilan untuk “Majalah Filem”, yang popular ketika itu.

Ustaz Nahrawi menjadi jurugambar, manakala Anis menjadi pemberita.

Dan pendedahan di kota besar itu menjadikan beliau terdedah kepada kamera baharu.

Beliau menuntut di sana bersama-sama Ustaz Fauzi, Salleh Merican, dan Datuk Wan Wahab Wan Sanusi. Sebelum itu, mereka belajar di Madrasah Al Islamiyah yang terletak di Jalan Gambier, Kuching.

Madrasah yang didirikan pada tahun 1937 oleh A. Mohammad Sharif, Pengerusi Lembaga Amanah Kebajikan Islam Masjid Bandar Kuching itu banyak melahirkan tokoh agama seperti Anis Abot, selain mufti-mufti Sarawak — Ustaz Datuk Abdul Kadir Hassan; Ustaz Datuk Mortadza Daud, Ustaz Datu Lolling Othman Alwi dan Ustaz Awang Pon.

Kesemua mereka memilih jalur pendidikan agama di Singapura selepas itu.

Menurut Otman, beliau dan Ustaz Nahrawi menjadi rapat selepas tahun 1958, apabila pulang ke Kuching selepas mengikut bapanya bekerja untuk Shell di Miri dan Brunei.

Ketika itu, bapanya terpaksa melarikan diri ke Brunei kerana telah dilabel sebagai “pembangkang” lantaran menjadi sebahagian daripada anggota 338 yang membantah penyerahan Sarawak kepada Koloni British.

Dari situ katanya, beliau mengenali peribadi Ustaz Nahrawi, yang mudah didekati dan penyabar.

Ia mungkin dipengaruhi oleh kedua-dua ibu bapanya yang taat kepada agama.

Bapanya, Haji Abdul Rahman Daud merupakan imam dan guru al-Quran di Kampung Sungai Bedil Besar, yang amat disegani.

Katanya lagi, Ustaz Nahrawi juga jarang marah. Lazimnya ketika “naik angin”, beliau akan berkias.

Tapi tidak pernah memaki hamun, sesuai dengan perwatakan dirinya. Ustaz Nahrawi katanya, juga tidak banyak bercakap dan tidak bergurau keterlaluan.

Seingatnya katanya, antara gurauannya adalah ketika menemani Ustaz Nahrawi ke satu majlis Maulud Nabi berhampiran Kampung Buntal.

Ustaz Nahrawi pernah “bergurau” kepada penduduk kampung tersebut yang bertanyakan siapa antara mereka berdua ialah “Ustaz Nahrawi”.

Beliau beliau menunjukkan ke arah Othman.

Hanya kemudian beberapa penduduk lain sedar bahawa Ustaz Nahrawi sebenar merupakan individu yang ditanya.

Pada 1970-an, Ustaz Nahrawi berkahwin dengan Hamdiah Sahmat.

Hamdiah merupakan gadis yang enam tahun muda daripadanya, dan beliau terpikat ketika menjadi pelajarnya ketika mengaji.

Kata Othman, beliau tida lupa akan detik itu, kerana dia dan Morshidi Abot menjadi jurugambar majlis tersebut.

“Ia pertama kali saya gunakan foto warna untuk kamera Canon 125.

Filem ini tidak kami proses sendiri, seperti lazimnya kerana ia masih baharu.

Sebaliknya dihantar ke Singapura melalui Chong Studio, yang terletak di belakang Electra House.

Dan sejak itu, nilai penggambaran kami terus meningkat.

Kata Othman, Ustaz Nahrawi jarang bersukan.

“Tapi beliau minat menonton wayang dan suka menikmati “bubur nyelik” dan cakoi yang dijual di Open Air Market.

Seperkara menarik yang diingatinya, pernah beliau berada di barisan hadapan dan mendongak ketika Ustaz Nahrawi membaca khutbah Jumaat di Masjid Bahagian.

Ini menyebabkan Ustaz Nahrawi tidak berasa selesa dan meminta untuk Othman berada di tempat lain setiap kali beliau melaksanakan tanggungjawabnya, selepas itu.

Baik Othman mahupun Dr Kamil.

Kedua-duanya cukup sedih dengan pemergian sahabat mereka ini.

Malah bagi Dr Kamil, ia lebih terasa kerana tidak lama dahulu, 98 peratus daripada foto simpanannya telah diserahkan kepada beliau untuk dipulihara, atas alasan tiada ahli keluarga mewarisi minatnya.

Foto-foto ini sebahagiannya digunakan dalam buku Suatu Hari di Hari Raya tulisan Dr Kamil pada 2005.

Ustaz Nahrawi pernah dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Tokoh Maal Hijrah peringkat negeri Sarawak pada 2008 kategori Pendakwah.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abang Muhammad Salahuddin pada sambutan Maal Hijrah 1432H di Dewan Suarah Bintulu, dan dihadiri Ketua Menteri ketika itu, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

BERITA LAIN

Geran pemula bantu usahawan muda Sarawak

KUCHING: Usahawan belia di Sarawak berpeluang memohon geran sehingga RM15,000 menerusi Geran SYStartUP bagi membantu menampung kos permulaan dan pembangunan perniagaan masing-masing. Timbalan Menteri Belia,

BERITA TERBARU

Empat maut padam kebakaran hutan Bromo

JAKARTA: Empat orang maut manakala dua lagi melecur teruk selepas terperangkap dalam asap tebal dan api yang merebak dengan pantas ketika berusaha memadamkan kebakaran hutan

Tubi Mbos khazanah kulinari Bidayuh

TUBI mbos merupakan warisan kulinari masyarakat Bidayuh Biatah di Kampung Pain Bojong yang lahir daripada kearifan tempatan sebagai bekalan makanan mesra alam untuk penduduk ke