ARTIKEL

TIADA DOKUMEN… Sebahagian daripada 132 orang pendatang tanpa izin yang ditahan dalam satu operasi yang dijalankan oleh JIM di kawasan ladang kelapa sawit di Setia Alam pagi tadi. - GAMBAR BERNAMA

Imigresen tahan 132 PATI di perkampungan haram

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SHAH ALAM: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 132 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam operasi di sebuah perkampungan haram di kawasan ladang kelapa sawit di Setia Alam dekat sini, awal pagi tadi.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM, Jafri Embok Taha, berkata operasi yang bermula pada jam 2.38 pagi itu menahan warga Indonesia yang terdiri daripada 76 lelaki, 41 wanita serta 13 kanak-kanak dan bayi berusia sembilan bulan, selain dua lelaki warga Bangladesh.

Beliau berkata hasil risikan dan aduan yang diterima pihaknya mendapati perkampungan berkenaan wujud sejak empat tahun lepas dengan dilengkapi bekalan elektrik.

“Warga asing ini dipercayai menyewa kawasan berkenaan daripada warga tempatan yang turut membekalkan bekalan elektrik kepada mereka. ‘Ketua Kampung’ di sini mendakwa mereka berkongsi membayar kira-kira RM6,000 sebulan untuk sewaan tanah seluas 0.6 hektar itu.

“Di kawasan penempatan haram ini turut menempatkan kedai runcit, warung dan surau.

“Kebanyakan warga asing ini bekerja sebagai tukang cuci, pembantu restoran dan buruh binaan di kawasan sekitar,” katanya selepas operasi berkenaan.

Beliau berkata berdasarkan semakan pihaknya, kesemua warga asing terbabit tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan telah tinggal di negara ini melebihi tempoh yang dibenarkan.

“Semasa operasi dijalankan, ada dalam kalangan mereka yang memanjat atap, menyorok di bawah kolong rumah dan mengunci diri (dalam rumah) supaya tidak ditahan pihak berkuasa,” katanya dan menambah operasi itu mengambil masa selama hampir tiga jam.

Jafri berkata operasi itu melibatkan 220 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi, antaranya JIM, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Jabatan Pendaftaran Negara, manakala kesemua PATI berkenaan akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Ditanya tentang tindakan yang akan dikenakan terhadap pemilik tanah berkenaan, beliau berkata semakan lanjut akan dilakukan mengikut Seksyen 55E (1) Akta Imigresen 1959/63.

Jafri turut mengingatkan orang ramai dan majikan supaya tidak melindungi mana-mana PATI. – BERNAMA

BERITA LAIN

Hari Wesak disambut meriah seluruh negara

KUALA LUMPUR: Hari Wesak disambut meriah di seluruh negara dengan ribuan penganut Buddha memenuhi tokong di negeri masing-masing sejak awal pagi ini. Di Kuala Lumpur,

Arab Saudi permudahkan urusan jemaah haji Malaysia

SEPANG: Pelaksanaan inisiatif Makkah Route untuk kali keenam membuktikan pengiktirafan antarabangsa dan keyakinan pihak Arab Saudi terhadap kecekapan pengurusan operasi haji yang dikendalikan oleh Lembaga

BERITA TERBARU