KUCHING: Seramai 17 pendatang asing tanpa Izin (PATI) ditahan dalam serbuan Ops Sapu dan Ops Pintu di beberapa lokasi kediaman di sekitar bandar raya Kuching pada Khamis lalu.
Menurut hantaran Facebook Jabatan Imigresen Sarawak, operasi dilaksanakan bermula jam 10 malam sehingga 8.30 pagi keesokkan hari.
“Fokus operasi menjurus kepada pemantauan kehadiran warga asing di premis-premis bilik sewa sekitar bandar raya ini,” kata hantaran berkenaan, semalam.
Dalam serbuan berlainan ketika kejadian, seramai 41 individu telah diperiksa dan daripada jumlah tersebut, 17 PATI didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal lebih masa.
Selain itu, mereka juga ditahan susulan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia.
“Orang dinasihatkan untuk menyalurkan aduan menerusi saluran sedia ada sekiranya terdapat kecurigaan dan mempunyai maklumat yang sahih berkenaan kehadiran PATI di kawasan masing-masing,” kata kenyataan itu.

