Impi S'wak seperti Estonia

“SAYA tidak ada kepentingan peribadi. Orang lain yang menyebut mandat dalam pilihan raya negeri akan datang merupakan mandat saya. Bagi saya, ia mandat rakyat Sarawak! Saya hanya pemimpin dan menjalankan tanggungjawab sebagai pemimpin!” Jelas dan tegas!
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam pertemuan terkini kami pada Jumaat lepas, memberitahu beliau enggan ambil pusing tentang soal mandat politik.
Sekali gus ini memadamkan tuduhan banyak pihak, yang mendakwa fokus Abang Jo adalah untuk memperoleh mandatnya sendiri.
Tegasnya, keutamaannya adalah kepada rakyat Sarawak.
Tarikh pilihan raya juga akan diputuskan setelah mengambil kira keselamatan rakyat Sarawak.
Apabila ditanya, bagaimana beliau mahu diingati, jawapannya mudah:
“Saya tidak ada pemikiran seperti itu. Saya tidak kisah mahu diingati bagaimana kemudian hari, kerana yang penting adalah untuk berkhidmat terus.
“Biarlah orang lain yang mentafsir dan mengingati apa yang dilaksanakan saya.”
Adun Satok sejak 1981 itu memiliki alasan kukuh untuk berkata demikian.
Ini kerana sejak dipilih dan dilantik sebagai wakil rakyat, Menteri Muda, Menteri, Timbalan Ketua Menteri dan Ketua Menteri, keutamaannya sentiasa kepada negeri ini.
Bawa pelaburan luar
Malah beliaulah individu pertama yang berjaya membawa pelaburan luar ke negeri ini, dan meyakinkan mereka menanam modal di Samajaya, Kemena, malah Sejingkat — kawasan yang ditukar statusnya kepada zon perindustrian; ketika menjawat Menteri Pembangunan Perindustrian.
Malah sewaktu menjadi Menteri Pelancongan, beliau memperkenalkan penerbangan langsung dari Australia dan Jerman, manakala sebagai Menteri Perumahan, beliau menukar projek gagal Sibu Jaya kepada projek berjaya, selain mengikhtiarkan rumah mesra rakyat.
Benar kata pepatah, benih yang baik, dicampak ke laut menjadi pulau, dilontar ke darat menjadi pokok.
Malah kalau dibaling ke langit, akan menjadi bintang.
Begitulah Abang Johari. Hari ini, genap empat tahun beliau menduduki tingkat 22, Wisma Bapa Malaysia.
Dan genap empat tahun beliau mentadbir Sarawak.
Selama 1,440 hari itulah juga beliau tanpa jemu mencari jalan untuk memajukan Sarawak dan memperkasakan ekonominya.
Beliau sentiasa berfikir dan berfikir. Membaca, mengkaji dan menelaah – bukan sahaja kepada model ekonomi, bahkan ramalan masa depan – bagi membimbing negeri ini ke arah yang tepat.
Dan hasilnya, Sarawak kini mampu tersenyum dengan pelbagai perolehan dan pendapatan, yang kemudian diunjur menjangkau RM10.12 bilion pada tahun ini.
“Ia bukan ‘hot air’ seperti yang dituduh banyak pihak sebab segala-galanya sudah terbukti di depan mata.
Hasil cukai jualan minyak dan gas Sarawak misalnya, telah mencapai sekitar RM3.7 bilion.
Ini belum lagi perolehan dari sektor lain, serta pendapatan daripada pelaburan negeri ini,” kata seorang menteri yang ditemui penulis semalam.
Pembangunan jambatan Kata menteri terbabit lagi, kerana pendapatan yang luar biasa itu jugalah, Ketua Menteri ini dapat berbelanja besar untuk membangunkan negeri ini.
“Lihat sahaja projek-projek pembangunan jambatan, jalan, pembukaan kawasan pertanian serta elektrik dan air.”
Benar, di tangan Abang Jo , beberapa projek yang seharusnya di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan kini dilaksanakan sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri.
Ini termasuk membina sekolah, jalan, malah lapangan terbang.
Yang paling popular tentunya meneruskan projek pembangunan yang dibatalkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini, seperti Jambatan Rambungan, Jambatan Igan dan Jambatan Batang Lupar – yang mengikut jadual asalnya akan menjalani proses pecah tanah pada minggu hadapan.
Semuanya ini untuk memastikan konektiviti di negeri ini dapat disegerakan.
Menyambung seluruh negeri ini ke dalam satu rangkaian, bermakna akan membantu menyebarkan pembangunan serta merancakkan ekonomi.
Prinsipnya mudah, apabila jalan berjaya dibina ke depan rumah, maka sesuatu kawasan itu pasti akan membangun dengan pantas.
Ketua Menteri juga menukar ekonomi negeri daripada konvensional kepada ekonomi digital.
Dan tindakan beliau itu terbukti berkesan.
Ketika Malaysia diancam Covid-19 sejak Mac tahun lalu, teknologi digital ini bagai menyambung nyawa penduduk negeri ini.
Ia menjadi nadi penghubung untuk berkomunikasi, belajar, makan, membeli-belah dan sebagainya.
Justeru itu, ramai pengkritik kini terpaksa menelan kata apabila menuduh tindakan Abang Jo memberi fokus kepada ekonomi digital dan membina prasarana Internet sebagai membazir dan membuang masa.
Dalam usia sesingkat empat tahun ini, Abang Jo sebenarnya telah mencipta banyak kejayaan.
Sarawak kini menjadi pemain utama sektor minyak dan gas melalui Petros, malah kini mempunyai kiosk tiga dalam satu, serta gas LPGnya sendiri.
Selain itu, Sarawak turut menubuhkan bank pembangunannya sendiri, DBOS yang membantu negeri ini dalam melaksanakan pelbagai projek pembangunan.
Kemajuan pengangkutan Hasil dedikasi Abang Jo juga, sistem pengangkutan awam ART akan diperkenalkan di negeri ini tidak lama lagi, menerusi Sarawak Metro; sementara stesen televisyen milik negeri, TVS telah pun memulakan siaran pada 10 Oktober lalu.
Petrochemichal Hub Sarawak pula dijangka akan beroperasi tidak lama lagi, yang menyediakan sekitar 74,000 peluang kerja – sekali gus membawa pulang ramai anak Sarawak yang bekerja di luar negara.
Setakat ini, hampir kesemua rancangan dan impian Ketua Menteri ini telah dilaksanakan, termasuk mewujudkan Statos atau Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di luar negara.
Setakat ini, ia telah berjaya dilaksanakan di Singapura, dan yang terkini adalah di Brunei Darussalam dan Pontianak.
Sarawak juga ada bas elektrik dan bas hidrogen, manakala bas sekolah diberikan percuma kepada para pelajar di kawasan terpilih.
Ibu yang melahirkan anak serta anak yang baru lahir, juga disediakan peruntukan khas.
Difahamkan beberapa projek lain kini sedang dalam perancangan akhir, antaranya termasuklah mewujudkan syarikat telekomunikasi Sarawak sendiri serta syarikat penerbangan.
Idea Abang Johari sebenarnya masih banyak.
Beliau mengimpikan Sarawak yang serba-serbi maju dan berjaya dengan teknologi baharu.
Juga beliau sentiasa ada ilham untuk menambah kantung negeri ini.
Sebab itu ada kalangan penganalisis yang menyebut beliau sebagai ‘a man in a hurry’
Pada usia 70 tahun, beliau tergesa-gesa untuk melakukan banyak perkara, kerana menyedari Sarawak selama ini jauh ketinggalan.
Beliau memecut laju, kerana mahukan negeri ini pantas membangun, tiada lagi isu prasarana dan cerita kemiskinan.
Sebaliknya makmur seperti negeri-negeri yang menjadi model impiannya; Estonia dan Bavaria.
Kerana itulah juga beliau memilih menukar ekonomi konvensional negeri ini kepada ekonomi digital, kerana percaya, hanya dengan transformasi itu sahajalah, lonjakan kuantum dapat dilakukan dan negeri ini dapat membangun dengan pantas.
Seterusnya mencapai impian menjadi negeri termaju dalam Malaysia menjelang 2030.
Dan kerana impian itu jugalah beliau mahu kadar kemiskinan di negeri ini segera dihapuskan.
“Miskin ini begitu subjektif. Ada rakyat di luar sana yang miskin tetapi ada tanah.
Ada yang tinggal di bandar tetapi miskin. Jadi satu-satu jalan keluarnya adalah melalui pendidikan.
Kita fokus kepada anak-anak mereka,” katanya Jumaat lalu.
Dan tidak hairanlah, Sarawak kini memiliki semakin banyak universiti dan kolej universiti, selain memberi fokus kepada sekolah antarabangsa – semuanya untuk rakyat jelata.
Dalam empat tahun itu, telah lebih seratus inisiatif telah dilaksanakan Abang Jo.
Ia jelas tidak cukup dan beliau tidak kecukupan masa.
Beliau memerlukan masa yang lebih, untuk melihat Sarawak yang lebih hidup, maju dan menjadi negeri impian semua.
Mungkin lebih hebat daripada Estonia dan Bavaria.