SEPANG: “Kalau boleh saya mahu lihat anak berjaya di Kejohanan Karate Dunia”.
Demikian harapan disandarkan Ab Malik Abdullah, 63, selepas anaknya, Muhammad Arif Afifuddin menghadiahkan emas acara Kumite (tempur) bawah 84 kilogram (kg) lelaki pada Sukan Asia Hangzhou 2022, baru-baru ini.
Walaupun bersyukur dengan kejayaan tersebut, beliau mengakui masih belum puas dengan pencapaian anaknya di Hangzhou.
Beliau berkata tiada pencapaian lebih membanggakan selain melihat anak berusia 23 tahun itu menggegar kejohanan dunia yang merupakan pertandingan peringkat tertinggi bagi sukan karate.
“Alhamdulillah, impian lihat anak raih emas di Sukan Asia telah termakbul namun saya harapkan agar Arif kekalkan usaha dan ketabahan demi capai kejayaan di kejohanan dunia satu hari nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyambut kepulangan anaknya dari Hangzhou di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.
Ditanya sama ada beliau sekeluarga risau melihat Arif menahan kesakitan di final, Ab Malik berkata mereka sudah lali dengan situasi mencemaskan itu.
“Kami dah biasa lihat beliau cedera dalam mana-mana pertandingan sebelum ini, jadi bagi kami tiada masalah,” katanya.
Arif mengharungi cabaran getir pada aksi final selepas lawannya, Daniyar Yuldashev menumbuk matanya sebelum berjaya munumbangkan wakil Kazakhstan itu, 10-4, sekali gus menyumbang emas sulung kem karate negara di China.
Sementara itu, Ab Malik juga menitipkan pesan kepada anak kelimanya daripada enam adik beradik agar kekal rendah diri dengan kejayaan tersebut dan mahu anaknya memperbaiki prestasi dalam usaha memburu lebih banyak pencapaian membanggakan pada masa depan.
Selain, Arif, kem karate negara turut membawa pulang dua perak menerusi Lovelly Anne Robberth (Kata individu wanita) dan trio Lovelly, Naccy Nelly Evvaferra Rojin dan Niathalia Sherawinnie Yampil (Kata berpasukan wanita).
Sukan Asia Hangzhou 2022 yang melabuhkan tirai semalam menyaksikan kontinjen negara melepasi sasaran 27 pingat selepas mengumpul keseluruhan 32 pingat dengan pecahan enam emas, lapan perak dan 18 gangsa. – BERNAMA



