KUCHING: Impian kira-kira 80 orang memiliki rumah sendiri musnah menjadi debu apabila ditipu oleh syarikat yang menawarkan skim pelaburan pembinaan hartanah.
Lebih menyedihkan, kebanyakan mangsa terdiri daripada mereka yang menetap di kawasan luar bandar dan pedalaman yang dijanjikan dengan pelbagai pulangan atau faedah dalam bentuk pulangan dividen dan aset hartanah.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia (MHO) Datuk Hishamuddin Hashim berkata, syarikat yang berpangkalan di negeri ini menawarkan tiga skim pelaburan kepada mangsa.
Ia termasuk tawaran pembinaan rumah di tanah sendiri, tawaran pembinaan rumah di kawasan yang lain dan tawaran pelaburan berkonsepkan hartanah dan pulangan dividen.
Katanya, pihaknya telah menerima 80 aduan daripada pengadu dari seluruh Sarawak berhubung syarikat tersebut dan menjangkakan kira-kira 400 laporan dari seluruh negeri termasuk Kedah dan Johor.
“Berdasarkan maklumat yang kita terima di lapangan, syarikat ini telah mengakibatkan kerugian hampir RM50 juta.
“Mereka menyasarkan masyarakat di Sarawak, di kawasan pedalaman dan orang susah yang begitu mengimpikan untuk mendapatkan rumah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyerahkan penyerahan penyataan tambahan di bawah Seksyen 112 Kanun Keseksaan Tatacara Jenayah dan surat mohon perhatian dan tindakan kepada Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini hari ini.