Impian sebagai manusia sihat

MUN dapat, saya pohon jasa baik tuan. Sik perlu kuar gambar saya tuan. Itu antara kelaziman permohonan kepada pihak media, apabila seseorang individu ingin memohon simpati ramai untuk mendapatkan rawatan.

Mereka segan, kerana terpaksa membuka ruang bantuan melalui media setelah tidak mampu untuk menanggung kos rawatan sakit kronik yang dihidapi.

Penyakit datang dalam pelbagai bentuk dan jenis. Namun lapan per sepuluh daripadanya berpunca daripada gaya hidup kita yang tidak sihat.

Antaranya, kurang bersenam, kurang tidur, makan makanan kurang berkhasiat, terlebih gula, garam dan sebagainya.

Itu antara tafsir pakar kesihatan di seluruh dunia. Yang pasti, kerajaan sentiasa menyarankan orang ramai mengamalkan gaya hidup sihat selain meningkatkan kesedaran terhadap bahaya penyakit kronik yang kian meningkat sejak kebelakangan ini.

Selain pelbagai program positif yang bermanfaat, penglibatan aktif mereka dalam aktiviti senaman ringan juga amat digalakkan kerana mampu membina kekuatan luar dan dalaman selain menyihatkan tubuh badan.

Perkembangan teknologi dunia tanpa sempadan yang semakin pesat menjadikan masyarakat semakin kurang melakukan pergerakan fizikal kerana bergantung kepada kemudahan sedia ada.

Perlu disedari kurang melakukan gerakan fizikal bukan sahaja menjadikan badan lemah dan tidak bermaya malah mengundang pelbagai penyakit.

Menurut kajian University of Georgia, latihan selama 20 minit tiga kali seminggu mampu meningkatkan tenaga sehingga 20 peratus. Ia menunjukkan amalan gaya hidup sihat bukan sahaja dapat melahirkan individu yang lebih cergas dan bertenaga malah produktif.

Menurut kajian Kementerian Belia dan Sukan pula, hanya 40 peratus daripada jumlah penduduk di negara ini yang mengamalkan gaya hidup sihat dan membudayakan sukan dalam kehidupan mereka.

Peratusan itu masih lagi rendah jika dibandingkan dengan 50 hingga 60 peratus rakyat di negara maju yang terlibat dalam aktiviti itu. Justeru tujuan Kementerian Belia dan Sukan menyediakan pelbagai program untuk mencetuskan gelombang penyertaan rakyat dalam sukan dan kecergasan amat dialu-alukan.

Pada masa yang sama, kekurangan metabolisme di dalam badan juga boleh menyebabkan penyakit seperti obesiti, diabetes, hipertensi, strok, penyakit jantung dan lain-lain lagi.

Menurut pakar perubatan kuno, kehidupan memerlukan pergerakan anggota badan dan sebahagian besar mereka yang mudah dijangkiti penyakit berpunca daripada diri sendiri, yang malas menggerakkan anggota badan. Peningkatan jumlah pesakit di negara membangun berdasarkan perangkaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kebanyakannya berpunca daripada masalah ini.

Rutin harian masyarakat hari ini yang sibuk membina kerjaya dan menambah pendapatan tanpa sedar fizikal dan mental mereka juga memerlukan rehat.

Bagaimanapun kesibukan jadual tugas harian menyebabkan mental mereka terus bekerja selain suasana yang tidak selesa di tempat kerja dan persekitaran kediaman.

Pada masa yang sama, penyakit tiga serangkai, iaitu darah tinggi, kencing manis dan kolesterol tinggi menjadi faktor pendorong kepada masalah lebih serius termasuk risiko sakit jantung.

Perlu diulang bahawa statistik Jabatan Perangkaan mengenai jumlah kematian akibat penyakit jantung koronari pada tahun 2018 adalah seramai 18,267 orang.

Malah, lebih membimbangkan apabila kematian akibat penyakit itu menunjukkan peningkatan setiap tahun dan menjadi punca utama kematian mengejut.

Budaya hidup sihat selain bersenam secara konsisten perlu diamalkan selain tidak mengabaikan amalan pemakanan sihat. Hanya dengan itu, kita dapat terus kekal sihat dan berfungsi sepenuhnya sebagai seorang manusia.

Suara Sarawak