ARTIKEL

Inap Desa jadi lokasi pembungkusan dadah, Polis Sarawak rampas dadah lebih RM16 juta

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kegiatan satu sindiket pengedaran dadah yang menjadikan sebuah inap desa di Santubong sebagai lokasi operasi terbongkar selepas polis berjaya merampas dadah bernilai lebih RM16 juta dalam satu serbuan bersepadu awal bulan ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, operasi pada 7 April 2026 itu dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Kontinjen Sarawak.

Menurut beliau, serbuan tersebut turut membawa kepada penahanan dua suspek tempatan, masing-masing seorang lelaki berusia 41 tahun dan seorang wanita berusia 31 tahun.

RAMPAS… Mohamad Zainal menunjukkan rampasan dadah bernilai lebih RM16 juta pada sidang media kejayaan tangkapan dadah di IPK Sarawak, hari ini. | Foto: RAMIDI SUBARI

“Siasatan mendapati kedua-dua suspek dipercayai berperanan sebagai pembungkus dan pengedar dadah dalam rangkaian sindiket berkenaan.

“Inap desa tersebut pula dijadikan lokasi pembungkusan sebelum bahan terlarang itu diedarkan ke beberapa kawasan di sekitar Kuching,” katanya pada sidang media kejayaan tangkapan dadah di IPK Sarawak, hari ini.

Dalam serbuan itu, beliau berkata polis merampas pelbagai jenis dadah termasuk MDMA, ketamin, pil Erimin 5, pil ekstasi dan syabu dengan jumlah keseluruhan melebihi 108 kilogram.

RAMPAS… Mohamad Zainal menunjukkan rampasan dadah bernilai lebih RM16 juta pada sidang media kejayaan tangkapan dadah di IPK Sarawak, hari ini. | Foto: RAMIDI SUBARI

Rampasan tersebut katanya dianggarkan mampu menampung hampir 17,000 pengguna.

“Sindiket berkenaan dipercayai beroperasi secara terancang dengan menggunakan aplikasi WhatsApp sebagai medium arahan pengedaran, selain menjadikan inap desa sebagai tempat pembungkusan dadah bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Kedua-dua suspek turut dipercayai menerima upah sekitar RM3,000 sebulan serta komisen RM5 bagi setiap paket dadah yang diproses, sekali gus menjadikan mereka sebahagian daripada rangkaian operasi sindiket tersebut,” katanya.

RAMPAS… Mohamad Zainal menunjukkan rampasan dadah bernilai lebih RM16 juta pada sidang media kejayaan tangkapan dadah di IPK Sarawak, hari ini. | Foto: RAMIDI SUBARI

Tambah beliau, hasil siasatan lanjut mendapati bekalan dadah diperoleh daripada rangkaian lain di sekitar Kuching, dengan aktiviti sindiket dipercayai bergerak aktif sejak awal April 2026.

Semakan rekod pula katanya mendapati suspek wanita mempunyai beberapa rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah dan kesalahan lain, namun ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah ketika ditahan.

“Dalam operasi yang sama, polis turut menyita sebuah kenderaan bernilai kira-kira RM15,000 serta wang tunai RM1,856 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

“Kedua-dua suspek didakwa di Mahkamah Majistret Kuching pada 20 April 2026 atas beberapa pertuduhan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, termasuk Seksyen 39B.

“Mereka kini ditahan di Penjara Puncak Borneo, Padawan sementara menunggu sebutan semula kes pada 25 Mei 2026,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata siasatan masih diteruskan bagi mengesan beberapa individu lain dipercayai mempunyai kaitan dengan rangkaian yang sama.

BERITA LAIN

Empat projek naik taraf sistem elektrik di Betong

KUCHING: Empat projek naik taraf sistem bekalan elektrik di Bahagian Betong dijangka dilaksanakan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13). Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi

BERITA TERBARU

Empat projek naik taraf sistem elektrik di Betong

KUCHING: Empat projek naik taraf sistem bekalan elektrik di Bahagian Betong dijangka dilaksanakan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13). Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi