PENGALAMAN pertama saya menaiki kapal terbang pada tahun 1993.
Berangkat dari Lapangan Terbang Sibu ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.
Bagi orang lain, tahun berkenaan mungkin sudah berpuluh-puluh kali menaiki kapal terbang tetapi itu penerbangan pertama 40 minit saya.
Itu juga pengalaman pertama saya — bagaimana seseorang yang menaiki kapal terbang harus membuat daftar masuk.
Ketika itu, kami terbang bersama-sama saudara dengan tujuan yang sama menuju bandar Kuching, yang saya tidak pernah tahu bagaimana rupanya, keadaannya dan orang yang menghuni bandar berkenaaan.
Ketika berbaris masuk ke dalam perut pesawat, kita boleh mengambil surat khabar yang dibekalkan di pintu masuk.
Susah tentu ketika itu, surat khabar yang tengah membina namanya — Utusan Sarawak terselit di antara surat khabar arus perdana.
Kedua-dua ibu bapa saya duduk bersebelahan, sementara saya duduk bertentangan di bahagian tingkap.
Ketika itu, cuma syarikat penerbangan MAS yang beroperasi untuk penerbangan domestik di dalam Sarawak.
Dengan tambang ketika itu cuma RM80 seorang, saya rasa ketika itu tambang agak mahal, namun kadar itu yang ditetapkan.
Kadar harga juga tidak berubah seperti sekarang.
Dan, penumpang juga membelinya di premis ejen yang dilantik.
Tidak seperti sekarang, semua pembelian di hujung jari kita.
Saya duduk di kerusi.
Melihat keluar.
Seperti orang lain juga, pengalaman pertama itu tentu mendebarkan.
Ya, saya juga berdebar.
Bukan berdebar takut, tetapi berdebar teruja dan seronok.
Awalnya saya biasa melihat burung besi itu terbang di kaca televisyen dan pelayan di dalamnya bekerja.
Ketika itu, jiwa remaja, tiada langsung rasa gentar atau takut.
Saya duduk sendirian di bahagian tingkap.
Ketika pengumuman menunjukkan cara memasang asas keselamatan, saya melihat paramugari menunjukkan tatacaranya sampai habis.
Bohong jika kalian naik pesawat untuk kali pertama, tidak tertarik dengan pengumuman itu dan melihatnya sampai habis.
Ketika diumumkan untuk terbang, ia meluncur laju naik.
Saya tidak melepaskan peluang melihat rupa tanah air kita dari atas.
Semakin naik, kehijauan semakin menghilang dan diganti dengan permaidani putih.
Itulah pertama kali dalam hidup saya, melihat kepulan awan putih terbentang di depan mata.
Saya jadi kagum. Inilah rasanya apabila manusia berada di atas awan.
Tidak lama kemudian, kami dihidangkan dengan sepotong kek, sebungkus kacang dan air jus mangga.
Ohhh… begini rasanya dilayan di dalam perut pesawat.
Rasanya naik pesawat pertama kali senang dan menakjubkan.
Tiada rasa takut atau khuatir.
Tetapi semakin saya berusia , beberapa tahun terakhir ini saya jadi takut naik kapal terbang.
Tidak tahu kenapa.
Fikiran saya suka memikirkkan yang bukan-bukan.
Puncanya kerana saya pernah naik pesawat sendirian dan mengalami pergolakan udara yang teruk kerana angin dan hujan.
Pada hal sebelumnya, saya naik biasa sendirian terbang dan setelah itu saya hanya mahu naik pesawat kalau ditemani anak-anak.
Namun apabila saya naik pesawat pada 18 Disember lepas, berlaku sedikit perlanggaran awan dan agak bergolak, semua ketakutan saya hilang.
Saya tidak takut langsung.
Mungkin fikiran saya mahu segera sampai ke rumah kerana keluarga menunggu kedatangan saya untuk memeluk jasad arwah ayah sebelum dikebumikan.
Saya melihat pesawat yang saya naik melanggar awan hitam, dengan cuaca mendung.
Saya langsung tidak memikirkannya dan fikiran saya ketika itu kosong.
Semalam, apabila berlaku nahas udara melibatkan penerbangan di luar negara, saya mula teringat ketakutan saya sebelum ini.
Betul, yang menyebabkan ketakutan itu sebenarnya diri saya sendiri.
Benda buruk takkan berlaku sehingga ia benar-benar berlaku.
Seperti tragedi pesawat Jeju Air yang terbang dari Bangkok ke Korea Selatan dengan 181 penumpang dan anak kapal di dalamnya terhempas ketika mendarat pada Ahad lalu menyebabkan semua penumpang maut kecuali dua orang yang kini dirawat di hospital.
Insiden yang menggemparkan dunia itu menarik perhatian dan simpati ramai selepas tular video yang memperlihat kapal terbang Boeing 737-800 milik syarikat penerbangan tambang jimat Jeju Air itu menluncur laju ketika mendarat sebelum terbakar.
Berdasarkan info beredar, kapal terbang itu diberi amaran tentang serangan burung oleh menara kawalan, ketika percubaan pertamanya mendarat pada jam 9.00 pagi waktu tempatan.
Beberapa minit kemudian, juruterbang mengeluarkan amaran mayday dan cuba mendarat sekali lagi dan dalam video menunjukkan pesawat cuba mendarat dengan perut pesawat tanpa gear pendaratan yang dipercayai gagal berfungi. Lebih dramatik, pesawat itu tergelincir di sepanjang landasan dengan asap berkepul-kepul sehingga melanggar struktur penghadang di hujung landasan dan terbakar.
Tidak sampai 24 jam, sebuah lagi pesawat milik syarikat tambang murah Korea itu juga mengalami masalah gear pendaratan dikesan sejurus berlepas menyebabkan Boeing 737-800 terpaksa berpatah balik dan mendarat pada jam 7.25 pagi waktu tempatan.
Saya membacanya dengan hati yang tersentuh.
Bagaimana rasanya mereka yang berada di dalam pesawat itu sebelum terbakar?
Tragedi pesawat terhempas adalah antara insiden yang paling mengerikan kerana peluang untuk anda terselamat sangat tipis.
Namun faktanya, pengangkutan udara antara pengangkutan yang paling selamat, namun, sebilangan kecil tidak bernasib baik.
Semalam sahabat saya di Semenanjung menghantar mesej.
Katanya, dia tidak jadi bercuti ke Sabah selepas berlaku pesawat patah balik kerana tidak dapat mendarat dan dia kaitkan dengan apa-apa yang berlaku di Korea yang menimbulkan perasaan waswasnya.
Jadi saya nasihatnya, jika waswas, jangan pergi.
Tanyanya lagi kepada saya, agak-agak bahagian tempat duduk mana yang paling selamat?
Dengan mengambil kira kejadian Jeju Air, saya rasa semua orang ada jawapannya — di bahagian belakang.
Itu jangkaan sahaja, bukan fakta yang perlu diambil serius kerana ajal maut bukan di tangan manusia.
Namun, setiap kemalangan pesawat berbeza, sama ada menjunam, bertembung atau pendaratan di air, meletup dan sebagainya. Justeru, rasanya tiada tempat duduk yang benar-benar selamat.
Namun, dulu terdapat kajian yang dilakukan bagi mengenal pasti bahagian tempat duduk yang mempunyai peratusan tertinggi untuk selamat yang dilakukan oleh National Transportation Safety Board, AS.
Mereka merumuskan penumpang yang duduk di bahagian belakang selepas sayap pesawat mempunyai kadar tertinggi untuk selamat iaitu 69 peratus.
Bahagian tengah pula mempunyai 56 peratus kadar selamat, manakala penumpang kelas pertama di bahagian hadapan mempunyai 49 peratus.
Namun, kita berbalik kepada ketentuan-Nya, tidak di dalam pesawat pun, di mana-mana ajal akan tiba.
Cuma sebagai manusia, kita mengelak musibah selagi dapat dielak.



