MUKAH: Jumlah kes bagi indeks jenayah di daerah Mukah bagi tempoh Januari hingga April tahun ini menurun kepada 36 kes berbanding 51 kes dalam tempoh sama tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan (DSP) Muhamad Rizal Alias berkata, penurunan sebanyak 15 kes atau kira-kira 29 peratus itu membuktikan keberkesanan usaha berterusan warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah.
“Pencapaian ini jelas mencerminkan komitmen tinggi semua pegawai dan anggota dalam memastikan tahap keselamatan awam terus berada pada tahap terbaik,” katanya ketika berucap dalam perhimpunan bulanan bagi Mei 2025, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, berdasarkan pecahan kategori indeks jenayah, kes curi kekal menjadi penyumbang tertinggi bagi kedua-dua tahun.

“Bagi 2025, sebanyak 38 kes curi direkodkan, diikuti 12 kes pecah rumah, empat kes mendatangkan kecederaan dan satu kes curi motosikal.
“Pada 2026, kes curi masih tertinggi dengan 21 kes, diikuti 10 kes pecah rumah, tiga kes curi motosikal, tiga kes mendatangkan kecederaan, dua kes rogol serta masing-masing satu kes curi motokar dan curi van atau lori.
“Walaupun terdapat penurunan keseluruhan kes, kita tidak boleh mengambil mudah trend jenayah semasa, khususnya melibatkan jenayah harta benda dan seksual. Setiap pegawai dan anggota perlu lebih proaktif, responsif serta mempunyai rasa keutamaan dalam menangani sebarang isu keselamatan di daerah ini,” tegasnya.
Di samping itu, prestasi Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Mukah turut mencatatkan peningkatan memberangsangkan bagi tempoh Januari hingga April 2026.
Jumlah tangkapan narkotik meningkat kepada 110 orang berbanding 90 tangkapan dalam tempoh sama tahun lalu, sekali gus menunjukkan peningkatan sebanyak 22.22 peratus.
Peningkatan itu didorong pelaksanaan operasi seperti Op Tapis Narkotik dan Op Tapis Khas Narkotik yang dilaksanakan secara konsisten dan agresif, khususnya membabitkan kes pengguna serta pemilikan dadah.
Sementara itu, statistik jenayah komersil menunjukkan peningkatan apabila sebanyak 62 laporan polis diterima bagi tempoh Januari hingga April 2026 berbanding 48 laporan dalam tempoh sama tahun lalu.

Peningkatan itu membuktikan jenayah komersial termasuk penipuan dalam talian, penipuan kewangan, penyamaran dan penipuan transaksi digital masih menjadi ancaman serius kepada masyarakat.
Jumlah kerugian kewangan akibat jenayah komersial juga meningkat kepada RM222,755 berbanding RM214,888.24 pada tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, prestasi pertuduhan bagi kes komersial menunjukkan peningkatan positif apabila 44 daripada 62 kes yang dibuka berjaya dituduh di mahkamah tahun ini berbanding 27 daripada 48 kes pada tahun lalu.
Dalam aspek trafik pula, jumlah laporan kemalangan jalan raya meningkat kepada 156 kes berbanding 133 kes dalam tempoh sama tahun lalu. Enam kes kemalangan maut direkodkan tahun ini berbanding empat kes pada 2025.
Sehubungan itu, Rizal turut memaklumkan jumlah saman trafik meningkat ketara kepada 1,311 saman tahun ini berbanding hanya 368 saman pada tahun lalu.
Jelasnya, peningkatan jumlah saman menunjukkan tahap penguatkuasaan lebih aktif dan konsisten oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Mukah dalam memastikan pematuhan undang-undang jalan raya terus dipertingkatkan.
Pada majlis sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada penerima sijil penghargaan daripada Pengarah Logistik dan Teknologi Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Pesuruhjaya Polis Sarawak atas komitmen dan dedikasi ditunjukkan.


