KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti bakal membentangkan indeks kesejahteraan sosial Sarawak pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang dijadual bermula 6 Mei depan.
Menterinya, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata,draf laporan mengenai indeks kesejahteraan sosial bagi negeri ini telah diterima oleh kementeriannya pada 29 April lalu.
Menurutnya, hasil kajian yang dilakukan dari tahun 2019 hingga 2024 menunjukkan peningkatan secara keseluruhan dalam kesejahteraan sosial Sarawak.
“Kita mendapati bahawa secara amnya kesejahteraan sosial dalam lapan aspek yang dikaji meningkat.
“Ada yang nampak meningkat dengan banyak, ada yang meningkat sedikit tetapi secara amnya meningkat.
“Justeru, kita akan membentangkan indeks kesejahteraan sosial Sarawak ini pada persidangan DUN Sarawak minggu depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri dan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Majlis Wanita Keluarga Sarawak (MWKS) di kediamannya di Jalan Sultan Tengah, hari ini.
Fatimah juga menjelaskan bahawa laporan tersebut akan membincangkan perbandingan antara kesejahteraan sosial di kawasan bandar dengan luar bandar, serta antara jantina dan umur.
Beliau turut menjelaskan bahawa laporan tersebut juga akan memuatkan inisiatif dan program yang telah dijalankan oleh Kementerian.
Selain itu, katanya, kementeriannya juga akan menyampaikan laporan mengenai keberhasilan program yang telah dilaksanakan di bawah Majlis Pembangunan Sosial (MPS), termasuk program pusat intervensi, transit gelandangan, dan pusat sokongan komuniti sosial.
“Kita akan melaporkan tentang keberhasilan program yang telah kita adakan, dan bagaimana ia dapat menyumbang kepada kesejahteraan sosial,” katanya.


