SABTU depan, Kampung Kupang Hilir di Saratok bakal mencipta satu lagi kenangan tersendiri apabila Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) menganjurkan pertandingan memancing yang dinamakan Kupang Strike.
Bagi sesetengah orang, pertandingan memancing mungkin perkara biasa. Ada yang melihatnya sebagai aktiviti mengisi masa lapang, manakala bagi kaki pancing, inilah peluang untuk menguji nasib, kemahiran dan kesabaran menunggu ikan menyambar umpan.
Namun, bagi kami di Kampung Kupang Hilir, Kupang Strike membawa makna yang sedikit berbeza.
Ini merupakan julung kalinya kami menganjurkan acara seumpama ini sebagai satu daripada pengisian Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kampung Kupang.
Betul, acaranya tidak besar. Hadiahnya juga tidaklah sebesar pertandingan memancing yang dianjurkan di tempat lain. Namun, di sebalik segala keterbatasan itu, ada semangat jauh lebih besar daripada nilai hadiah yang ditawarkan.
Kami mahu mencuba sesuatu yang baharu. Kami mahu mewujudkan suasana meriah dalam kalangan penduduk kampung, sekali gus membuka ruang kepada orang luar untuk mengenali Kampung Kupang dengan lebih dekat. Kadangkala, sesuatu yang besar bermula daripada langkah yang kecil.
Angka 63
Dan bagi kami, Kupang Strike ialah salah satu langkah itu. Seramai 63 peserta, 63 hadiah bertuah. Angka 63 bukan sekadar nombor yang dipilih secara kebetulan. Pertandingan ini menyasarkan penyertaan seramai 63 orang, bersempena sambutan ulang tahun ke-63 pembentukan Malaysia pada tahun ini.
Angka yang sama turut menjadi simbolik kepada penyediaan 63 hadiah cabutan bertuah untuk para peserta. Menariknya, selain menguji kemahiran memancing, peserta juga berpeluang membawa pulang hadiah melalui cabutan bertuah yang disediakan oleh pihak penganjur.
Dalam erti kata lain, bukan hanya ikan yang ditunggu-tunggu di hujung tali pancing, tetapi juga peluang membawa pulang rezeki tambahan. Siapa tahu, peserta yang pulang tanpa membawa ikan besar mungkin menjadi antara individu paling bertuah pada hari tersebut.
Begitulah harapan kami. Pertandingan ini bukan semata-mata tentang siapa yang mendapat tangkapan paling berat atau siapa yang berjaya membawa pulang hadiah utama, tetapi juga tentang pengalaman, persahabatan dan kenangan yang tercipta sepanjang acara berlangsung.
Kami mahu peserta pulang dengan senyuman, sama ada berjaya meraikan ikan ataupun tidak. Kupang Strike dianjurkan oleh JKKK Kampung Kupang Hilir dengan kerjasama Kawan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Hilir Kupang, serta mendapat sokongan Pusat Khidmat ADUN N.38 Kalaka dan Pemanca Lim Guan Ann.
Perkenal Kampung Kupang
Alhamdulillah, segala persiapan sedang diperhalusi dari semasa ke semasa bagi memastikan pertandingan ini dapat berlangsung dengan lancar. Sudah tentu, apabila pertama kali menganjurkan sesuatu acara, banyak perkara perlu dipelajari.
Ada urusan yang perlu disusun, persiapan yang perlu disemak dan pelbagai perkara kecil yang perlu diberikan perhatian. Namun, semua itu menjadi sebahagian daripada pengalaman yang cukup bermakna kepada kami.
Lebih daripada sekadar menganjurkan pertandingan, kami melihat acara ini sebagai peluang untuk mempromosikan Kampung Kupang yang kaya dengan sumber sungai, khususnya hasil perikanan yang menjadi antara tarikan semula jadinya.
Bagi mereka yang biasa dengan persekitaran sungai di kawasan ini, nama udang galah pastinya tidak asing lagi. Begitu juga dengan ikan laban, ikan tamban dan pelbagai spesies ikan sungai lain yang menjadi sebahagian daripada khazanah perairan tempatan.
Kekayaan sumber sungai ini mempunyai potensi tersendiri untuk diperkenalkan dengan lebih meluas, khususnya kepada penggemar aktiviti memancing dan mereka yang ingin menikmati pengalaman santai di kawasan luar bandar.
Mungkin selama ini, orang hanya mengenali Kampung Kupang sebagai sebuah perkampungan di Daerah Saratok, yang jalan masuknya dari Simpang Bajau masih bersih itu baru atau tidak.
Tetapi melalui aktiviti seperti ini, kami berharap lebih ramai dapat mengetahui bahawa kampung kecil ini juga mempunyai keunikan dan daya tarikannya tersendiri. Tidak semestinya kita perlu membina sesuatu yang besar untuk memperkenalkan sebuah kampung.
Kadangkala, aktiviti yang dekat dengan kehidupan masyarakat setempat sudah cukup untuk menjadi permulaan. Bagi masyarakat yang tinggal berhampiran sungai, sungai bukan sekadar laluan air atau sumber mata pencarian ikan.
Sungai juga menyimpan kenangan, menghubungkan kehidupan dan menjadi sebahagian daripada identiti masyarakat setempat. Ada yang membesar dengan aktiviti memancing bersama keluarga.
Ada yang belajar mengenal jenis ikan daripada orang tua mereka. Ada juga yang menjadikan sungai sebagai tempat mencari rezeki dan mengisi masa lapang selepas penat bekerja. Sebab itu, aktiviti seperti memancing mempunyai daya tarikan yang tersendiri.
Di tebing Sungai Krian, persekitaran yang tenang dan udara yang segar boleh dinikmati. Sungai yang jernih dan bersih adalah satu kelebihan yang perlu dipelihara dan dipromosikan.
Kadangkala, cerita tentang ikan yang terlepas lebih panjang daripada cerita ikan yang berjaya ditangkap. Di situlah letaknya kemahiran sebenar aktiviti memancing.
Menerusi Kupang Strike, kami mahu menghidupkan suasana seperti ini. Kami mahu menyediakan ruang untuk masyarakat berkumpul, berkenalan dan menghargai hubungan dalam suasana santai.
Pada masa yang sama, kami berharap pengunjung dapat menikmati keindahan persekitaran Sungai Krian dan mengenali kehidupan masyarakat Kampung Kupang. Jika semuanya berjalan lancar, tidak mustahil acara ini boleh menjadi antara aktiviti yang dinanti-nantikan pada masa hadapan.
Bermula kecil, mudah-mudahan berkembang. Kami sedar penganjuran pertama ini mempunyai banyak kekurangan yang perlu diperbaiki. Kami juga tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi sehingga melupakan keupayaan dan sumber yang ada.
Bagi kami, kejayaan tidak semestinya diukur melalui jumlah peserta yang ramai atau nilai hadiah yang besar.
Jika pertandingan dapat berlangsung dengan baik, peserta berpuas hati, hubungan masyarakat semakin erat dan nama Kampung Kupang dapat diperkenalkan kepada lebih ramai orang, itu sudah cukup menjadi satu pencapaian yang membanggakan.
Acara komuniti
Mudah-mudahan, pengalaman pertama ini menjadi asas untuk penganjuran yang lebih baik pada masa akan datang. Barangkali pada tahun berikutnya, lebih ramai kaki pancing akan datang mencuba nasib.
Barangkali juga Kupang Strike mampu berkembang menjadi acara komuniti yang menarik perhatian pengunjung dari kawasan sekitar Saratok, malah dari daerah lain. Namun, semuanya perlu bermula dengan langkah pertama. Dan langkah pertama kami ialah Sabtu ini.
Kepada semua peserta yang telah mendaftar, kami mengucapkan terima kasih atas sokongan yang diberikan. Kepada penduduk kampung, ahli jawatankuasa, rakan kerjasama dan semua pihak yang membantu menjayakan program ini, penghargaan kami tidak terhingga.
Semoga segala persiapan dipermudahkan dan pertandingan berjalan dengan lancar, selamat serta meriah. Akhirnya, Kupang Strike bukan sekadar pertandingan untuk menentukan siapa paling banyak memubawa pulang hasil pancingan.
Ini ialah usaha kecil kami untuk memeriahkan sambutan Hari Malaysia, memperkenalkan potensi kampung dan membuktikan masyarakat setempat juga mampu mencipta sesuatu yang bermakna apabila bergerak bersama.
Hadiahnya mungkin tidak besar. Pesertanya mungkin hanya 63 orang. Tetapi semangat yang ingin kami bawa jauh lebih besar daripada angka-angka itu. Kerana bagi kami, yang paling penting hubungan yang terjalin, pengalaman yang dikongsi dan nama Kampung Kupang yang dibawa pulang dalam ingatan setiap pengunjung. Jumpa anda di Kupang Strike, semoga ada rezeki di hujung tali!



