BENGALURU: India pada Isnin merasmikan kilang helikopter terbesarnya, yang boleh menghasilkan sekurang-kurangnya 1,000 pesawat setahun, sebagai sebahagian daripada usaha pertahanan diri untuk mengatasi ketegasan China yang semakin meningkat.
New Delhi juga mengumumkan peningkatan dua angka dalam bajet pertahanan tahunannya minggu lalu dengan perhatian tertumpu pada pesaing geopolitiknya, yang ia berkongsi sempadan utara yang dipertikaikan.
Walaupun India ialah salah satu pengimport senjata terbesar di dunia, ditambah dengan usaha terbarunya ke arah pengeluaran pertahanan tempatan, namun ia masih banyak bergantung pada perkakasan dari Moscow, pembekal tentera terbesar dan tertuanya.
Selepas perasmian itu Perdana Menteri Narendra Modi berkata, kemudahan helikopter baharu itu memenuhi “ikrar kerajaan kita untuk mengurangkan secara beransuransur pergantungan India kepada negara asing untuk keperluan pertahanannya”.
“Saya gembira kerana beratusratus senjata dan sistem pertahanan yang berbeza daripada senapang serangan moden kepada kereta kebal, kapal pengangkut pesawat, helikopter dan pesawat pengangkut kini dibuat di India,” kata Modi.
Fasiliti yang dicanang sebagai kilang helikopter terbesar di Asia itu pada mulanya akan menghasilkan Helikopter Utiliti Ringan yang direka dan dibangunkan oleh India dan kemudian berkembang untuk membina helikopter pelbagai peranan yang lain.
Kilang di negeri Karnataka selatan itu dirasmikan hanya beberapa bulan selepas New Delhi melancarkan helikopter serangan buatan tempatannya, yang direka untuk digunakan di kawasan altitud tinggi seperti Himalaya.



