JAKARTA: Sekurang-kurangnya empat orang cedera dan 27 keluarga terkesan selepas satu gempa bumi dengan magnitud 6.2 melanda Daerah Garut di Jawa Barat pada 11.29 pagi waktu tempatan, Ahad.
Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia melaporkan Tasikmalaya merupakan kawasan yang paling terkesan dilanda gempa bumi dengan 13 keluarga terjejas, diikuti Garut, dengan empat keluarga terkesan.
Jurucakap BNPB, Abdul Muhairi berkata pusat gempa ialah di pantai barat daya Pulau Jawa dengan kedalaman 70 kilometer (km), sekitar 156 km barat daya Garut mengakibatkan kerosakan kepada 27 kediaman dan bangunan lain.
“BNPB Sumedang dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan mendirikan khemah di medan parkir Hospital Sumedang sebagai persediaan untuk gegar penghujung,” katanya dalam satu kenyataan.
Saluran berita tempatan melaporkan ramai yang panik dan mengosongkan rumah masingmasing untuk keselamatan semasa gempa bumi itu.
Agensi geografi negara, Badan Meteorologi, Klimatologi, Geofisika (BMKG) turut merakamkan pelbagai tahap gegaran di beberapa wilayah termasuk, Sukabumi, Bandung, Tangerang, Tangerang Selatan, Bogor, Jakarta, Kebumen, Banyumas, Cilacap, Bantul, Sleman, Kulonprogo dan Trenggalek.
Ketua Pusat Gempa Bumi dan Tsunami BMKG Dr Daryono berkata gempa bumi itu berlaku akibat pergerakan dalam plat IndoAustralia di bawah plat Eurasia, atau dikenali sebagai gempa bumi kepingan dalaman. Sementara itu di Sulawesi Selatan, tiga maut dan enam lagi cedera dalam kejadian tanah runtuh di Toraja Utara, Sulawesi Selatan.
Abdul Muhairi berkata, kejadian tanah runtuh itu berlaku dua kali di Kampung Tallang Sura, Daerah Kecil Buntao pada pagi Jumaat lepas berikutan hujan lebat dan keadaan tanah yang tidak stabil.
Insiden itu mengakibatkan kerosakan teruk kepada sebuah rumah, menjejaskan yang lain, laluan jalan raya terputus, dengan enam keluarga dipindahkan
. “Pasukan penyelamat tempatan menangguhkan pencarian pada Sabtu. Jalan berjaya dibuka semula untuk kenderaan dua dan empat roda,” kata Abdul Muhairi dalam satu kenyataan.
Beliau turut menasihatkan penduduk di Daerah Kecil Buntao supaya sentiasa berwaspada kerana keretakan besar dikesan di bahagian atas kawasan tanah runtuh, memberi isyarat potensi berlakunya lagi tanah runtuh.
Abdul Muhairi menggesa penduduk di kawasan cerun yang curam di Sulawesi Utara dan Selatan supaya segera berpindah jika hujan lebat berterusan lebih dari sejam.
Pada 13 April, sekurangkurangnya 18 orang maut dalam insiden sama yang berlaku di dua kampung dalam Daerah Kecil Makale, Daerah Tanah Toraja, Sulawesi Selatan. – Bernama



