JAKARTA: Indonesia menyambung semula operasi di reaktor penyelidikan TRIGA 2000 di Bandung, mengembalikan operasi satu daripada kemudahan penyelidikan nuklear utama negara selepas memperoleh lesen operasi yang diperbaharui.
Menurut Agensi Penyelidikan dan Inovasi Kebangsaan (BRIN), reaktor itu telah beroperasi sejak Februari di bawah lesen yang dikeluarkan oleh Agensi Kawal Selia Tenaga Nuklear (BAPETEN), membolehkannya menyokong penyelidikan nuklear, teknik analisis, radioisotop dan pembangunan radiofarmaseutikal, serta pendidikan.
Lesen berkenaan sah hingga Julai 2027 dan membenarkan operasi pada kapasiti kuasa 1,000 kilowatt (kW).
Menurut BRIN, pihaknya memohon untuk memperbaharui lesen itu pada Mei 2024, tiga tahun sebelum tamat tempohnya, selaras dengan keperluan kawal selia.
Sambil menyifatkan TRIGA 2000 sebagai aset strategik negara, BRIN dalam kenyataan pada Rabu menggariskan, reaktor itu, yang dirasmikan oleh presiden pertama Indonesia Sukarno pada 20 Feb 1965, telah memainkan peranan penting dalam memajukan keupayaan sains dan teknologi nuklear negara.
Menurut BRIN, Indonesia mengendalikan tiga reaktor penyelidikan iaitu reaktor TRIGA 2000 di Bandung, reaktor Kartini di Yogyakarta dan G.A. Reaktor Serbaguna Siwabessy di Serpong, Banten.
“Sebagai pengendali reaktor, kami percaya Reaktor TRIGA kekal layak untuk beroperasi selepas 2027 kerana pelbagai Struktur, Sistem dan Komponen (SSC) reaktor telah diperbaharui dan sistem sokongan telah dinaik taraf, termasuk pengukuhan struktur bangunan reaktor, penggantian sistem penyejukan, pam sekunder, menara penyejuk dan sistem pengudaraan,” kata Ketua Pasukan Pengurusan Pemasangan Reaktor TRIGA Abdul Rohim Iso Suwarso.
Beliau berkata pemodenan itu mencerminkan komitmen BRIN untuk mengekalkan kebolehpercayaan dan keselamatan operasi reaktor, manakala elemen bahan api yang ada kekal mencukupi untuk menyokong operasi berjadual bagi penyelidik BRIN dan pengguna luar. – BERNAMA



