GEDONG: Kerjasama strategik antara Sarawak dengan syarikat dari Jepun dijangka memperkukuh pembangunan industri alga di Gedong yang dilihat berpotensi menjadi antara sumber ekonomi baharu negeri termasuk dalam penghasilan bahan api alternatif pada masa hadapan.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, projek berkenaan dilaksanakan bersama dengan syarikat dari Jepun, Chitose, yang memberi tumpuan kepada pembangunan dan pengkomersialan alga bagi menghasilkan pelbagai produk bernilai tambah.

Menurut beliau, antara potensi yang diteroka menerusi industri tersebut termasuklah penghasilan minyak berasaskan alga yang boleh digunakan dalam sektor penerbangan.
“Kalau ini berjaya direalisasikan, AirBorneo juga berpotensi menggunakan bahan api yang dihasilkan di Borneo sendiri, mungkin dari Gedong,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ngiling Bidai Sambutan Hari Gawai Dayak Daerah Gedong di Kampung Keniong Jaya di sini, malam tadi.
Majlis turut dihadiri Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Seri Naroden Majais.
Naroden dalam ucapannya sebelum itu berkata pembukaan kawasan baharu di hulu Gedong melalui jaringan jalan raya baharu dijangka membuka lebih banyak peluang pembangunan ekonomi termasuk pertanian, penternakan dan industri berasaskan sumber hijau pada masa hadapan.
Katanya, Kerajaan Sarawak ketika ini memulakan projek perintis penanaman alga di Gedong melibatkan kawasan seluas 100 hektar sebelum diperluas kepada ladang komersial berskala kira-kira 1,000 hektar.
Naroden berkata, industri alga bukan sahaja mempunyai potensi dalam penghasilan bahan untuk sektor farmaseutikal dan produk kecantikan, malah turut dilihat mampu menyumbang kepada pembangunan sumber tenaga alternatif pada masa hadapan.

