ARTIKEL

Industri kreatif semarakkan budaya membaca

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUALA LUMPUR: Karnival Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) dan Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) mengetengahkan pameran kandungan digital berbahasa Melayu sebagai usaha menyemarakkan bahasa kebangsaan dan budaya membaca masyarakat Malaysia. 

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Dr Hazami Jahari berkata pemindahan karya sastera ke skrin melalui proses adaptasi teks merupakan satu daripada usaha menyebarluaskan karya sastera kepada khalayak melalui platform digital.

“Dalam konteks industri kreatif, kita boleh berbangga dengan penerbitan animasi tempatan seperti Ejen Ali, Upin dan Ipin, Boboiboy dan Mechamato yang menjadi wahana pembelajaran bahasa Melayu kepada penutur bukan asli sekali gus memberikan indikator positif tentang kandungan tempatan yang mendapat tempat dalam kalangan warga jagat.

“Selain itu, ada juga beberapa bahan daripada cerpen, puisi dan novel telah diadaptasi dalam bentuk industri kreatif seperti telemovie, drama dan animasi kanak-kanak,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata antara bahan yang telah diadaptasi ke industri kreatif ialah puisi Sesekali oleh Zaleha M Hashim, novel Kemboja di Hati oleh Ramlah Rashid, Capa Rengat Gulai Rawo oleh Baharuddin Kahar serta animasi Rara Riri yang menjadi ikon untuk sastera kanak-kanak dan remaja.

Karnival DBK dan DMK yang berlangsung pada 25 hingga 27 Okt merupakan kerjasama Universiti Multimedia bertemakan “Meraikan Industri Kreatif” yang menampilkan variasi program dan aktiviti menarik, antaranya forum berkaitan animasi, Bengkel Uji Cuba dan sebagainya. 

Program berkenaan diadakan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak dengan pembabitan pelbagai pihak seperti Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), beberapa agensi kerajaan serta kementerian dan karnival ini merupakan acara kemuncak.

Hazami berkata satu perancangan teliti telah dirangka dalam usaha memperkasakan bahasa kebangsaan seterusnya meningkatkan amalan budaya membaca dengan sasaran menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa negara, bahasa ilmu serta bahasa ekonomi dalam tempoh 2020 hingga 2030.

“Sementara itu bagi DMK, kami menyasarkan ke arah peningkatan kualiti pembacaan, mutu bahan serta akses pembacaan melalui pelbagai saluran dengan menyediakan buku secara konvensional serta bentuk digital lebih banyak yang mudah diakses di mana-mana sahaja,” katanya.

Beliau berkata secara umum kadar peratusan minat membaca dalam kalangan masyarakat di negara ini tidak menunjukkan sebarang perubahan yang drastik susulan perkembangan teknologi kerana bahan-bahan boleh diperoleh di telefon bimbit, bukan lagi secara manual.

Katanya DBP diberikan tanggungjawab untuk menerajui pelbagai program atau aktiviti untuk menggalakkan dan menanam minat membaca yang diperluas kepada pelbagai lapisan masyarakat dan umur.

Dekad Bahasa Kebangsaan 2020 hingga 2030 atau DBK merupakan penjenamaan baharu untuk Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) dan kesinambungan daripada pelbagai kempen bahasa dan sastera kebangsaan yang diadakan semenjak tahun 1960-an yang dinaungi oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

DMK yang telah diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 13 Feb 2019 ialah inisiatif yang digerakkan oleh KPM untuk memberikan impak terhadap peningkatan budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia.

Pada masa ini, produk penerbitan digital DBP dijual menerusi pelantar digital DBP, iaitu JendelaDBP dan sejak pembangunannya pada Mei 2021 hingga 1 Mei 2023, JendelaDBP  telah diakses oleh 3,114,992 pelayar dari 147 buah negara.

Pembangunan JendelaDBP satu daripada langkah DBP untuk memastikan produk penerbitan DBP sampai kepada khalayak bukan sahaja masyarakat tempatan tetapi juga masyarakat antarabangsa.

Usaha mengantarabangsakan produk DBP secara tidak langsung dapat menambahkan pendapatan DBP dan pada masa ini selain buku, majalah digital turut mendapat tempat dalam kalangan masyarakat yang suka membaca secara digital. — BERNAMA

LAIN-LAIN BERITA

2,338 menara telekomunikasi siap dibina

KUALA LUMPUR: Sebanyak 2,338 menara telekomunikasi baharu daripada 3,884 yang dirancang melalui Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) untuk menaik taraf jaringan jalur lebar di seluruh

67 peratus responden setuju PLKN diwujudkan semula

KUALA LUMPUR: Sebanyak 67 peratus daripada 2,633 responden bersetuju dengan pelaksanaan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN 3.0) susulan tinjauan umum yang dilaksanakan sejak 24

Pencalonan Anugerah Sastera Negara kini dibuka

KUALA LUMPUR: Pencalonan bagi Anugerah Sastera Negara Ke-16, khusus untuk memberi penghargaan dan pengiktirafan tertinggi bertaraf negara kepada tokoh sasterawan, kini dibuka mulai semalam hingga

BERITA TERBARU

Sarawak berada di depan transformasi digital

SEPANYOL: Sarawak berada di barisan hadapan dalam transformasi digital sekali gus memanfaatkan teknologi untuk memacu inovasi dan produktiviti merentasi pelbagai industri. Menurut Menteri Utiliti dan