KUCHING: Pembangunan pakej pelancongan menarik serta promosi yang menonjol berupaya menjadikan Sarawak sebagai destinasi wajib dikunjungi oleh warga Singapura.
Pengarah Tourism Malaysia Sarawak, Rubiah Tul Adwiyah Mohd Yusof, berkata usaha menghubungkan pemain industri pelancongan tempatan dengan ejen pelancongan Singapura di bawah program ‘Meet-The-Experts’ merupakan kerjasama penting.
Bahkan menurutnya, ia juga satu inovasi dalam mempromosikan Sarawak sebagai destinasi pelancongan utama.
“Kita menjangkakan inisiatif ini akan membawa kepada pembangunan pakej pelancongan menarik serta promosi yang menonjolkan Sarawak sebagai destinasi wajib dikunjungi oleh warga Singapura,” katanya ketika merasmikan program ‘Meet-The-Experts’ di sebuah hotel terkemula di ibu negeri semalam.
Jelasnya, ia didorong oleh 26 penerbangan mingguan yang kini beroperasi antara Singapura dengan Sarawak.
“Program ini juga bertujuan memupuk pembangunan pengalaman pelancongan bertanggungjawab, yang akan menarik pelancong tetap Singapura ke Sarawak bagi Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) yang akan datang,” ujarnya.
Pihaknya, kata Rubiah Tul, bekerjasama dengan Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), Business Events Sarawak (BESarawak), dan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak Singapura (STATOS) untuk mengadakan program tersebut yang turut diisi dengan sesi dan seminar perniagaan-ke-perniagaan (B2B).
“Kita ingin menghubungkan pemain industri pelancongan tempatan dengan ejen pelancongan Singapura.
“Diikuti dengan lawatan suai kenal yang unik selama empat hari, tiga malam ke Sibu, yang mempamerkan masakan tempatan yang kaya dengan budaya Sarawak.
“Lawatan ke Sibu membolehkan peserta menyelami hutan hujan Borneo, menikmati perjalanan indah di sepanjang sungai terpanjang di Malaysia, Sungai Rajang, dan mengalami budaya masyarakat Iban yang meriah serta Jejak Warisan Melanau, selain hidangan kulinari dan layanan mesra masyarakat tempatan,” ujarnya.
Seramai 18 ejen pelancongan dari Singapura berpeluang untuk menjalin rangkaian dengan 25 wakil tempatan, termasuk ejen pelancongan, pemilik produk pelancongan dan pengusaha hotel, selain mengadakan perbincangan produktif, perkongsian pandangan dan membina hubungan.
Sebahagian besar pasaran Asia Tenggara menjadi penyumbang utama kepada sektor pelancongan Malaysia, dengan kedudukan Singapura sebagai sumber utama pasaran penjanaan pelancong, yang menyumbang dengan ketara kepada 18.9 juta pengunjung dari Januari hingga Disember 2024.

