KUCHING: Industri pembinaan merupakan antara sektor yang paling terjejas di Sarawak apabila beberapa kategori kenderaan dan jentera berat masih belum layak menerima subsidi di bawah kerangka BUDI MADANI Diesel, sekali gus meningkatkan kos projek pembangunan.
Presiden Persatuan Usahawan Sarawak, Nizam Khalyd berkata, pembekal melaporkan peningkatan kos pengangkutan dan pengeluaran, manakala beberapa kategori kenderaan berat termasuk lori pengadun konkrit masih tidak termasuk dalam kerangka subsidi tersebut.
“Akibatnya, syarikat tidak mempunyai banyak pilihan selain memindahkan kos tambahan tersebut, sekali gus meningkatkan kos projek infrastruktur, pembangunan perumahan dan kerja-kerja awam.
“Justeru, kelayakan subsidi wajar diperluaskan kepada aset operasi kritikal seperti lori pengadun konkrit, jentera pembinaan berat, jengkaut, jentolak, kenderaan utiliti luar bandar, termasuk tong RORO dan pengangkutan berkuasa diesel lain yang lazim digunakan di kawasan pedalaman,” katanya menerusi satu kenyataan, semalam.
Menurutnya, pengendali logistik turut berdepan peningkatan kos bahan api yang memberi tekanan kepada rantaian bekalan serta meningkatkan kos penghantaran barangan ke kawasan bandar dan luar bandar.
“Keadaan ini akhirnya akan menyebabkan kenaikan kos dipindahkan kepada pengguna, sekali gus menambah beban kos sara hidup.
“Komuniti perniagaan juga mula merasai kesan pelaksanaan dasar tersebut apabila peningkatan kos operasi memaksa banyak syarikat menyemak semula struktur harga bagi memastikan kelangsungan perniagaan,” jelasnya.
Beliau berkata, kesan paling ketara turut dirasai petani dan pekebun kecil di kawasan luar bandar serta pedalaman yang bergantung kepada kenderaan pacuan empat roda berkuasa diesel untuk mengangkut hasil pertanian ke pusat pengumpulan dan pasaran.
“Bagi golongan ini, penggunaan diesel bukan sekadar kemudahan, malah satu keperluan untuk meneruskan sumber pendapatan.
“Peningkatan kos bahan api secara langsung mengurangkan pendapatan yang sedia terhad serta menambah tekanan kepada isi rumah luar bandar.
“Sebarang usaha meningkatkan kecekapan dan mengurangkan ketirisan perlu memastikan pengguna yang benar-benar layak, khususnya mereka yang menyokong keselamatan makanan dan aktiviti ekonomi tempatan, tidak terjejas secara tidak adil,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan kebimbangan turut timbul terhadap proses kelulusan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) kerana banyak perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) masih berdepan kelewatan serta kesukaran pentadbiran walaupun telah memenuhi syarat yang ditetapkan.
Menurutnya, pendekatan yang lebih telus, cekap dan mesra perniagaan diperlukan bagi memastikan pengusaha yang layak menerima bantuan tanpa dibebani kerenah birokrasi.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya kerajaan menyemak semula kuota subsidi diesel bagi pengguna di Malaysia Timur agar lebih mencerminkan jarak perjalanan sebenar, keadaan muka bumi serta keperluan operasi.
“Proses kelulusan di bawah SKDS harus dipermudah dan dipercepatkan, selain mengambil kira faktor wilayah dalam penggubalan dasar bahan api Persekutuan bagi mengelakkan kesan inflasi terhadap sektor pertanian, pembinaan, logistik, pembuatan dan perusahaan luar bandar.
“Libat urus bersama Kerajaan Negeri, wakil industri dan pihak berkepentingan perlu diperkukuh supaya pelaksanaan dasar lebih berasaskan realiti tempatan serta mengambil kira keadaan ekonomi dan geografi unik Sarawak,” tegasnya.
Tambahnya, pelaksanaan kerangka subsidi diesel BUDI MADANI menimbulkan kebimbangan di Sarawak kerana pendekatan peruntukan bulanan tetap yang dilaksanakan secara seragam di seluruh negara tidak mencerminkan keluasan geografi, keperluan pengangkutan serta realiti ekonomi di Malaysia Timur.
“Bagi rakyat Sarawak, diesel bukan sekadar bahan api, malah merupakan komponen penting yang menyokong mobiliti, perdagangan, sektor pertanian serta pergerakan barangan dan perkhidmatan.
“Dasar yang bertujuan memperkukuh kemampanan fiskal negara juga perlu melindungi sumber pendapatan komuniti luar bandar serta mengekalkan daya tahan industri penting demi memastikan pembangunan yang adil dan kemakmuran bersama di seluruh Malaysia,” jelasnya.


