SIBURAN: Industri penjagaan warga emas dilihat semakin penting dalam peralihan Sarawak ke arah negeri menua, sekali gus menuntut kemahiran khusus untuk dijadikan kerjaya profesional pada masa hadapan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, Sarawak dijangka menjadi negeri menua menjelang 2028 apabila lebih 15 peratus penduduknya terdiri daripada warga emas.
“Saya percaya, penjagaan warga emas ini sama seperti menjaga kanak-kanak kecil. Ia memerlukan kemahiran yang perlu dikuasai dalam usaha memberikan penjagaan terbaik kepada golongan tersebut.
“Justeru, antara aspek penting termasuk pemahaman mengenai penjagaan warga emas dan proses penuaan, termasuk ciri-ciri apabila seseorang meningkat usia. Selain itu, elemen seperti demensia, pemakanan, kesihatan, penyakit berkaitan termasuk masalah kulit dan luka tekanan serta lain-lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Penyerahan Bantuan Bayaran Insentif Penjagaan Warga Emas kepada Pegawai Perkhidmatan Awam di Rumah Seri Kenangan (RSK) Kuching, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau menambah bahawa dalam usaha melahirkan petugas berkemahiran, Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) Dalat turut menawarkan kursus sijil atau program latihan khusus dalam penjagaan warga emas dan paliatif.
“Langkah berkenaan sangat penting kerana industri penjagaan warga emas memerlukan kemahiran, ilmu serta kefahaman yang jelas mengenai kumpulan sasaran yang kita jaga. Ia juga selaras dengan peralihan Sarawak ke arah negeri menua.
“Kita mahu pada akhirnya warga emas kita dapat terus hidup dengan bermaruah serta berdikari untuk tempoh yang selama mungkin. Ini termasuk contoh warga emas yang masih aktif dan mampu mengurus diri sendiri tanpa bergantung kepada orang lain. Itulah antara sasaran kita,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Akademik Akademi Industri dan ESG merangkap Ketua Kampus CENTEXS Dalat dan Lawas, Dr Nadianatra Musa menyatakan program latihan khusus dalam penjagaan warga emas di CENTEXS Dalat semakin mendapat sambutan ekoran penyertaan yang memberangsangkan sejak diperkenalkan kira-kira empat tahun lalu.
“Alhamdulillah, kita telah menerima seramai 30 pelajar semalam (27 April). Sekitar empat tahun lepas, permulaan kepada program ini saya sangat bimbang dengan sambutan pelajar sama ada golongan muda berminat menyertai kursus ini.
“Hal ini kerana jumlah yang diterima pada kali pertama pengenalan kursus hanya 11 orang, kemudian meningkat kepada 15, seterusnya 20 dan tahun lepas adalah 25 orang. Syukur alhamdulillah, ini menunjukkan kursus ini semakin mendapat sambutan,” jelasnya.
Sementara itu, kriteria kemasukan ke RSK adalah warga emas daif berumur 60 tahun ke atas, tidak menghidap penyakit berjangkit, tidak mempunyai keluarga atau penjaga serta masih berupaya mengurus diri sendiri. Bagaimanapun, dasar semasa menegaskan bahawa warga emas yang mempunyai penjaga digalakkan untuk terus berada bersama keluarga, manakala institusi hanya dijadikan sebagai pilihan terakhir.
Pada masa ini, RSK menempatkan seramai 86 penghuni yang terdiri daripada 43 lelaki dan 43 perempuan. Bagi memastikan kebajikan mereka terpelihara, institusi tersebut turut dilengkapi dengan pembantu perkhidmatan serta jururawat.
Dari segi penjagaan, RSK menetapkan nisbah tertentu antara penjaga dengan penghuni. Bagi warga emas sihat, nisbah yang ditetapkan ialah seorang penjaga bagi setiap 10 penghuni atau kurang, manakala bagi warga emas berpenyakit atau terlantar, nisbahnya ialah seorang penjaga bagi setiap empat penghuni atau kurang.
Ketetapan sama turut diguna pakai bagi Orang Kurang Upaya (OKU), iaitu seorang penjaga bagi setiap 10 penghuni atau kurang, manakala bagi OKU teruk atau terlantar, nisbahnya ialah seorang penjaga bagi setiap empat penghuni atau kurang. Bagi golongan sasar lain pula, nisbah yang ditetapkan ialah seorang penjaga bagi setiap 10 penghuni atau kurang.

