KUCHING: Industri perkayuan Sarawak kini berdepan tekanan berganda berikutan peningkatan kos operasi akibat ketidaktentuan ekonomi global yang mula menjejaskan kelangsungan pemain industri khususnya dalam sektor huluan dan hiliran.
Pengerusi Persatuan Kayu Kayan Sarawak (STA) Datuk Henry Lau Lee Kong berkata, situasi geopolitik yang tidak menentu, terutama konflik berpanjangan di Timur Tengah, telah mendorong kenaikan harga minyak dunia sekali gus mengganggu kestabilan pasaran tenaga.
Beliau menjelaskan kesan langsung tersebut dirasai industri apabila kos diesel yang merupakan komponen penting dalam aktiviti pembalakan, pengeluaran, pengangkutan dan pemprosesan meningkat secara ketara.

“Lonjakan kos ini bukan sahaja menekan margin keuntungan, malah memaksa sebahagian syarikat mengecilkan operasi atau menghentikannya buat sementara waktu.
“Lebih membimbangkan, terdapat kegusaran bahawa sebahagian pengusaha mungkin tidak mampu bangkit semula sekiranya keadaan ini berlarutan,” katanya semasa berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan STA di Wisma STA, di sini hari ini.
Tambah beliau, dalam usaha meredakan tekanan tersebut, STA memohon agar kerajaan mempertimbangkan intervensi bersasar termasuk menyemak semula kadar royalti, ses dan premium.
Langkah itu katanya, penting bagi memastikan kesinambungan operasi industri dalam menghadapi cabaran kos yang berterusan.
“Pada masa sama, prestasi industri menunjukkan trend penurunan yang membimbangkan. Pengeluaran balak pada tahun 2025 kekal rendah sekitar 1.93 juta meter padu, manakala sektor hiliran turut terjejas dengan pengeluaran papan lapis merosot mendadak daripada kira-kira 3 juta meter padu pada 2008 kepada hanya sekitar 550,000 meter padu.
“Kemerosotan ini turut disebabkan oleh penyusutan pengeluaran hutan tanaman yang dikaitkan dengan pembatalan lesen tanpa proses yang jelas. Perkembangan ini secara tidak langsung menjejaskan usaha menggantikan sumber kayu daripada hutan semula jadi.
“Di lapangan, kesannya semakin ketara apabila loji, mesin dan kenderaan bernilai tinggi dibiarkan terbiar, manakala tenaga kerja pula terpaksa dikurangkan. Keadaan ini memberi impak besar kepada kelangsungan syarikat serta ekonomi setempat.
“Dalam masa yang sama, isu pencerobohan tanah, tuntutan tidak sah dan pertindihan hak milik terus menjadi cabaran utama yang menjejaskan sektor perladangan hutan serta kestabilan pengurusan lesen,” katanya lagi.
Walaupun berdepan pelbagai cabaran, beliau menegaskan STA kekal memainkan peranan penting sebagai wadah penyatuan industri serta saluran komunikasi dengan kerajaan dalam usaha mencari penyelesaian mampan demi memastikan industri perkayuan Sarawak terus berdaya tahan.



