AHLI Parlimen Indera Mahkota Saifuddin Abdullah begitu yakin bahawa Perikatan Nasional (PN) mampu menyelesaikan isu yang disifatkannya sebagai masalah tiga beradik di Sabah dalam tempoh satu penggal.
Masalah tiga beradik itu ialah isu air, elektrik dan jalan raya.
Begitu berani dan yakin pemimpin PN ini bahawa, masalah berdekad-dekad di Sabah itu dapat diselesaikan dalam tempoh lima tahun.
PN mungkin mempunyai lampu Aladdin untuk menangani masalah berkenaan dalam waktu singkat.
Persoalannya, adakah masalah tiga beradik itu dapat diselesaikan dalam lima tahun jika PN memerintah?
Atau ini sekadar satu lagi janji manis pemimpin pembangkang untuk meraih undi dan mempengaruhi para pengundi di Sabah.
Adakah para pengundi di Sabah di 73 kerusi percaya akan janji berkenaan?
Dapatkah parti dari Semenanjung itu menyelesaikan masalah di Sabah?
Dapatkah kerajaan pimpinan PN, jika menang, menangani ketiga-tiga masalah itu dengan begitu cepat?
Atau ini sekadar angan-angan besar yang tidak realistik.
Dalam PRN ke-17 pada 29 November nanti, PN akan mengemukakan 41 calon, 90 peratus muka baharu, dengan 30 peratus anak muda.
PN mendakwa, calonnya berlatar belakang pendidikan tinggi dan profesional, berintegriti dan sedia berkhidmat.
Dilaporkan Warisan pula akan tampil dengan 50 peratus muka baharu dan 30 peratus calon berumur bawah 40 tahun, sekali gus mencerminkan komitmen Warisan untuk memberi ruang kepada generasi muda dan suara pelbagai lapisan masyarakat.
Dalam PRN yang menelan kos RM130 juta, dengan 30,000 petugas itu, 37 kerusi diperlukan untuk mendapat majoriti dan membentuk kerajaan daripada 73 kerusi yang direbut 596 calon yang bertanding, dengan purata lapan calon setiap kerusi, sekali gus menjadikannya satu rekod dalam sejarah PRN di Malaysia.
Ini adalah antara PRN paling meriah dan menarik dengan begitu banyak parti politik bertarung dan mencuba nasib.
Masing-masing memberi pelbagai janji manis kepada rakyat.
Memang ada yang mudah menelan janji berkenaan.
Tetapi saya percaya, sebahagian besar rakyat telah tahu warna sebenar dan prestasi setiap parti yang bertanding, tidak kira kepemimpinan Datuk Seri Hajiji Noor (GRS), Datuk Seri Shafie Apdal (Warisan) atau Datuk Seri Bung Moktar Radin (UMNO).
Betulkah itu bukan janji ‘bulan dan bintang’ seperti diungkapkan oleh Saifuddin?
Saya percaya, bagi sebahagian besar rakyat dan pengundi di Sabah, janji dan katakata itu sebenarnya ialah janji bulan dan bintang.
Ya, sekadar omong kosong pemimpin pembangkang yang mahu mendapatkan undi dalam tempoh berkempen dari 15 hingga 28 November ini.
Dijangka antara isu yang dimanipulasikan dalam kempen kali ini adalah pendatang tanpa izin, prasarana dan pembangunan, jalan raya yang perlu dinaik taraf, tuduhan rasuah terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri, isu kemudahan asas, kedaulatan Sabah, ekonomi, peluang pekerjaan, autonomi, dan kestabilan politik.
Hakikatnya, GRS telah berjaya mendapatkan peningkatan geran khas di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kepada RM600 juta pada 2025.
Pelaburan langsung asing (FDI) ke Sabah telah melonjak daripada RM132.7 juta pada 2023 kepada lebih RM1,080 juta pada 2024.
Saya percaya, peluang PN untuk memerintah di Sabah adalah tipis.
Berapa kali sudah kita dengar janji pembangkang termasuk PN di Sabah bahawa mereka mahu membesarkan kek ekonomi tempatan, dan meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat Beliau menegaskan bahawa perkara praktikal dan mampu diselesaikan dalam tempoh satu penggal.
Ketika berada di pihak pembangkang, memang mudah untuk bercakap. Itu praktikal.
Tetapi yakinlah, apabila sudah memerintah — itu pun kalau ditakdirkan menang — kisah dan naratifnya jadi lain.
Ketika itu nanti, mereka akan kata, tidak praktikal untuk menyelesaikan masalah rumit itu dalam tempoh sepenggal.
Ketika itu nanti, mereka akan kata, berilah ruang dan masa kepada kerajaan untuk menyelesaikan masalah itu.
Kerana, ya, masalah kekurangan dana, dan sebagainya.
Itu sebenarnya sekadar justifikasi dan alasan lemah.
Sebenarnya, dari awal mereka sedar, tidak mungkin bagi mereka untuk menyelesaikan masalah itu dalam tempoh lima tahun.
Hakikatnya, kegagalan untuk menyelesaikan masalah asas di Sabah itu adalah kerana ketidakstabilan politik akibat perebutan kuasa serta kepemimpinan yang bersilih ganti.
Juga, tentunya kekurangan komitmen politik yang jitu untuk betul-betul menangani masalah tiga beradik itu.
Kebijaksanaan pengundi di Sabah kali ini, amat penting untuk menentukan kelangsungan pembangunan dan kestabilan politik, serta pertumbuhan ekonomi yang berterusan.
Juga, penerusan perjuangan MA63. Jika tersalah pilih, tentu mereka akan terpaksa menelan pil pahit dan menyaksikan bahawa Sabah sekali lagi akan terjebak dalam ketidakstabilan politik.
Akankah kita sekali lagi menyaksikan katak politik yang melompat parti atas nama kepentingan rakyat?
Sebab, dijangka tidak akan ada parti yang dominan dari segi keputusan kali ini.
Jika berlaku DUN tergantung, ini akan menyaksikan rundingan sengit apabila parti kecil dan calon bebas yang menang, akan menjadi penentu atau kingmaker.
Di sebalik segala umpan dan janji, termasuk mulut manis ratusan calon nanti, sejumlah sekitar 1.7 juta pengundi Sabah, termasuk 662,000 pengundi baharu mengundi dengan bijak, dan tidak dikuasai atau dipengaruhi oleh emosi atau terpengaruh dengan mudah oleh janji palsu calon dan parti.
Mereka harus berfikiran kritis, menilai setiap janji dan dasar yang dikemukakan berdasarkan keperluan sebenar komuniti, bukan sekadar retorik.
Keprihatinan terhadap masa depan negeri amat penting.
Pengundi perlu mempertimbangkan kesan jangka panjang terhadap kestabilan politik, pembangunan prasarana dan ekonomi, pendidikan, peluang pekerjaan serta pengurusan sumber alam Sabah.
Mereka wajar bersikap rasional dan bebas tekanan, tidak mudah dipengaruhi sentimen perkauman, politik wang atau janji-janji sementara.
Jujur terhadap diri sendiri juga penting — mengundi berdasarkan integriti dan rekod prestasi calon, bukannya kepentingan peribadi.
Pengundi harus mempunyai kepekaan terhadap isu tempatan, memahami cabaran daerah masing-masing seperti infrastruktur, kos sara hidup dan keselamatan.
Mereka perlu berani membuat keputusan sendiri yang tepat, dan tidak terikut-ikut dengan desakan luar.
Jadilah pengundi matang dan bertanggungjawab demi kestabilan serta kemajuan Sabah.
Ini kali bah!
• Dato Dr Jeniri Amir ialah penganalisis politik yang turut berminat mengikuti perkembangan politik Sabah.

