YAYASAN SARAWAK TERUS PRIHATIN merupakan ungkapan paling tepat untuk usaha Yayasan Sarawak dengan kerjasama Kerajaan Sarawak memastikan setiap isi rumah di seluruh Sarawak mendapat manfaat dan faedah daripada setiap inisiatif yang dilaksanakan selama ini.
Menjelang awal tahun terutama sebelum bermula sesi persekolahan, ibu bapa sibuk membuat persiapan persekolahan anak-anak.
Namun, terdapat segelintir ibu bapa tidak mampu membuat persiapan sewajarnya disebabkan kurang mampu dan mempunyai tanggungan ramai.
Oleh itu, inisiatif Bantuan Pakaian Seragam yang diperkenalkan pada 2001 berusaha menangani masalah seperti dinyatakan.
Fokus utama ialah memastikan setiap pelajar kurang berkemampuan dapat membuat persiapan persekolahan pada awal tahun.
Pada awalnya, pelajar dibekalkan dengan pakaian seragam yang ditempah daripada pembekal yang dilantik.
Kaedah agihan ini ditambah baik dari tahun ke tahun dengan pemberian wang bernilai RM100 untuk setiap pelajar yang layak dengan wang tersebut dimasukkan ke akaun bank pelajar yang didaftarkan oleh pihak sekolah masing-masing. Purata penerima manfaat bantuan pakaian seragam ini ialah seramai 15,000 pelajar sekolah setahun.
Memandangkan program ini mendapat sambutan baik dan terbukti memberi manfaat kepada banyak keluarga, maka Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang juga Pengerusi Yayasan Sarawak memaklumkan pertambahan peruntukan RM4 juta setahun.
Menurut beliau, “Dengan peningkatan jumlah peruntukan ini, maka sasaran purata penerima tahunan ialah seramai 30,000 pelajar sekolah di seluruh Sarawak dan dinaikkan kepada RM200 bagi setiap pelajar.”
Bagi Abang Johari, penyampaian bantuan pakaian seragam sekolah antara komitmen Kerajaan Sarawak menerusi Yayasan Sarawak untuk membantu keluarga kurang berkemampuan dalam memastikan anak-anak mereka mendapat pendidikan sempurna.
Menerusi bantuan ini, tiada lagi alasan ibu bapa tidak menghantar anak-anak ke sekolah.
Selain peruntukan ditambah kepada RM4 juta setahun, pelaksanaan bantuan juga ditambah baik menggunakan kaedah pemberian baucar.
PIHAK Yayasan Sarawak membuat kemas kini bagi prosedur agihan bantuan ini dengan memperkenalkan beberapa pendekatan lebih sistematik:
1. Memperkenalkan sistem baucar RM200 yang mempunyai nombor siri untuk setiap pelajar.
2. Menjalin kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) dan Pejabat Pentadbiran Bahagian (Pejabat Residen & Daerah) bagi tujuan pemilihan pelajar yang layak mengikut kriteria seperti berikut:
a. Terbuka kepada semua pelajar yang layak berdasarkan data e-kasih.
b. Keutamaan diberi kepada pelajar Darjah 1 dan Tingkatan 1.
c. Murid berkeperluan khas (OKU).
d. Murid Penan.
e. Disahkan oleh Mesyuarat Focus Group Daerah.
3. Bekerjasama dengan pihak pembekal seperti pasar raya besar dan kedai yang berdaftar di setiap bahagian.
4. MOU bersama-sama pihak Bank Simpanan Nasional bagi tujuan pembayaran kepada tuntutan pihak pembekal.
Memandangkan elemen utama pengagihan tersebut ialah pemberian baucar yang memiliki nombor siri, maka inisiatif ini dikenali sebagai Baucar Bantuan Pakaian Seragam sejak 2017.
Pelaksanaan bermula dengan Yayasan Sarawak memaklumkan jumlah kuota yang ditetapkan dan menyerahkan bilangan baucar tersebut kepada Pejabat Pentadbiran Bahagian (Residen) seluruh Sarawak. Pejabat Daerah dimaklumkan berkenaan kuota baucar tersebut dan seterusnya mengadakan mesyuarat dengan semua Pejabat Pendidikan Daerah untuk agihan baucar.
Pihak sekolah dimaklumkan menghantar senarai nama pelajar yang layak berdasarkan kriteria yang ditetapkan dan dikemukakan kepada Pejabat Daerah bagi tujuan pengesahan.
Seterusnya, senarai nama yang diperakui dihantar kepada Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk tindakan penyediaan data.
Untuk makluman, kaedah penggunaan sistem baucar sangat memudahkan kerana pelajar hanya perlu ke kedai pembekal, menulis nama pada baucar tersebut dan memilih barangan persekolahan seperti baju dan seluar sekolah, beg, kasut, tali pinggang serta lain-lain dengan nilai harga RM200 sahaja.
Dengan penggunaan baucar ini, bantuan ini dapat disalurkan kepada rakyat secara lebih efisien dan sistematik. Selaras pendekatan Yayasan Sarawak sebagai Pemangkin Pembangunan Pendidikan, inisiatif ini diharap dapat membantu meringankan beban keluarga yang kurang mampu dan memastikan setiap pelajar dapat menimba ilmu dengan selesa dan tidak lagi berasa rendah diri terhadap tahap keyakinan dan kehidupan harian mereka.
Rata-rata pelajar dan ibu bapa yang pernah menerima bantuan berharap agar bantuan ini diteruskan pada masa hadapan dengan lebih banyak penambahbaikan dibuat oleh Yayasan Sarawak membantu memperkasa pendidikan di Sarawak.
Walaupun negara masih dilanda pandemik Covid-19 yang mengganggu sistem persekolahan, namun agihan baucar pakaian seragam untuk 2021, tetap diteruskan di beberapa kawasan seluruh Sarawak. Terbaru, seramai 510 pelajar dari 18 sekolah di Samalaju, Bintulu menerima sumbangan ini dengan kos keseluruhan berjumlah RM100,200.
Mereka terdiri daripada 315 pelajar daripada keluarga yang menerima e-Kasih, 22 pelajar OKU, 19 pelajar komuniti Penan, 90 pelajar Tingkatan 1 dan 55 orang murid Tahun 6.
Simbolik penyerahan disempurnakan oleh Adun Samalaju Majang Renggi pada 22 September yang lalu. Sebelum ini, majlis simbolik penyerahan baucar bantuan pakaian seragam ini diadakan di beberapa tempat seperti Lundu, Subis, Telang Usan, Balingian, Sibu dan Jepak.