ARTIKEL

Inisiatif DBKU untuk anak-anak mulakan sesi persekolahan 2025

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) mengambil inisiatif untuk meringankan beban keluarga memerlukan, dengan menyampaikan Kit Kembali Ke Sekolah bagi memastikan anak-anak memulakan sesi persekolahan dengan peralatan lengkap.

Datuk Bandar, Datuk Hilmy Othman berkata, program ini bukan sahaja membantu golongan memerlukan, tetapi juga memberi inspirasi kepada semua untuk terus berusaha mewujudkan masyarakat lebih inklusif dan prihatin.

Selain itu katanya, program membaca bersama-sama pemimpin turut menjadi platform bagi para pemimpin untuk menyemai semangat cintakan ilmu dalam kalangan generasi muda, sekali gus memastikan pendidikan khususnya kawasan Kuching Utara terus menjadi keutamaan.

CERIA… Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Datuk Hilmy Othman turut kelihatan Guru Besar SK Rakyat, Ayup Bujang (dua dari kiri) di Program Membaca Bersama Datuk Bandar di Sekolah Kebangsaan Rakyat Bolhassan, FOTO: GHAZALI BUJANG

“Ia bukan sahaja dalam aspek pembangunan infrastruktur dan kemudahan fizikal, tetapi juga dalam aspek pendidikan bagi generasi masa hadapan kerana pendidikan merupakan asas utama dalam membina sebuah masyarakat yang maju dan sejahtera.

“Justeru, DBKU sentiasa komited dalam memastikan anak-anak mendapat peluang terbaik dalam pendidikan, tanpa mengira latar belakang atau kedudukan ekonomi mereka,” katanya ketika menyempurnakan Program Membaca Bersama Datuk Bandar di Sekolah Kebangsaan Rakyat Bolhassan, di sini, semalam.

Jelas beliau, di sebalik segala kemajuan yang dicapai dalam aspek pembangunan bandar, kepentingan pendidikan sebagai elemen yang menyokong kemajuan tersebut tidak boleh diabaikan.

“Oleh itu, selain meningkatkan infrastruktur sekolah, kita juga perlu memberi perhatian kepada sumber daya manusia iaitu para pendidik dan pelajar kerana saya percaya, pelaburan dalam pendidikan adalah pelaburan yang tidak ternilai harganya.

“Dengan itu, DBKU terus bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan akses pendidikan berkualiti tidak terhad dengan manamana pihak, terutamanya kepada mereka yang memerlukan,” jelasnya.

Ujar Hilmy, semua pihak bertanggungjawab dalam mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi anak-anak belajar dan berkembang sebagai individu yang berjaya dan berguna kepada masyarakat.

Majlis ini turut menyaksikan penyampaian Kit Kembali Ke Sekolah kepada 11 sekolah daripada keluarga berpendapatan rendah seperti SK Siol Kanan, SK Combined, SK Semerah Padi, SK Buntal, SK Goebilt, SK Bako, SK Tan Sri Dr Sulaiman Haji Daud, SK Pasir Pandak, SK Semariang, SK RPR Jalan Astana dan SK Rakyat Bolhassan.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Komuniti (COS), Rudzaimeir Malek, Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan, Siti Zulaiha Ibrahim dan Penolong Pejabat Pendidikan Daerah (Unit Sumber dan Teknologi Pendidikan), Voon Sze Ling.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU