KUCHING: Perbadanan Kemajuan Industri Kayu Sarawak (PUSAKA) dan Worldview Climate Solutions (Malaysia) Sdn Bhd hari ini menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA).
Ia menandakan pelancaran rasmi inisiatif karbon biru di kawasan Tanjung Manis.
MoA itu ditandatangani oleh Pengurus Besar PUSAKA, Zainal Abidin Abdullah, dengan Pengarah Urusan Worldview Climate Solutions (Malaysia) Sdn Bhd, Datuk Selva Kumar.
Ia disaksikan oleh Timbalan Premier merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Projek itu direka untuk memulihkan dan memulihara 11,000 hektar hutan bakau.
Ia menandakan satu langkah besar dalam komitmen Sarawak terhadap kelestarian alam sekitar dan pertumbuhan ekonomi melalui pelaburan langsung asing.
Ia juga untuk mewujudkan dan membangunkan ekosistem karbon biru serta menangkap dan memasarkan karbon daripada hutan bakau yang dipulihkan, sambil menyokong biodiversiti tempatan dan ekopelancongan.
Kerjasama itu dijalin susulan daripada kajian kebolehlaksanaan yang dijalankan sejak 2023, dan ia mengesahkan kesesuaian Tanjung Manis sebagai tapak karbon biru yang mampan.
Projek karbon biru akan memberi tumpuan kepada perlindungan alam sekitar, pemulihan ekosistem dan pembangunan program komuniti.
Ia bertujuan untuk meningkatkan ekonomi tempatan dan menggalakkan penggunaan tanah yang mampan.

