ARTIKEL

Dr Nivakan

Inisiatif Kerajaan Tunjuk Impak Awal Atasi Kemiskinan – Dr Nivakan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pendekatan Kerajaan MADANI menerusi program seperti Sejahtera MADANI, Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI disifatkan sebagai strategi progresif dalam menangani kemiskinan dan kos sara hidup.

Pensyarah Swinburne University of Technology Sarawak, Dr Nivakan Sritharan berkata pemberian geran RM100,000 kepada komuniti dan peluasan program kampung serta sekolah angkat menggalakkan pembangunan dari bawah, meningkatkan keupayaan tempatan dan membina rasa tanggungjawab bersama terhadap hala tuju sosioekonomi.

Program ini selari dengan prinsip pembangunan lestari. Ia bukan sahaja mengurangkan kebergantungan kepada bantuan kerajaan malah mampu menjana pekerjaan dan inovasi luar bandar.

Hasilnya hampir 150,000 isi rumah telah berjaya keluar daripada kategori miskin tegar, sekali gus menunjukkan impak awal yang ketara dalam tempoh singkat, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menyentuh keberkesanan Sekolah Angkat MADANI yang dilihat dapat memperkasa modal insan dan memperkecil jurang pendidikan terutama di kawasan kurang membangun.

Kejayaan jangka panjang bergantung kepada pemantauan rapi, ketelusan agihan dan kesinambungan dasar walaupun berlaku perubahan pentadbiran.

Geran RM100,000 hanya cukup untuk permulaan. Tanpa model pembiayaan jangka panjang dan sokongan teknikal, banyak inisiatif mungkin tidak berdaya saing dalam jangka panjang, jelasnya.

Mengulas bantuan tunai sekali bayar RM100 di bawah Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Dr Nivakan menyifatkannya sebagai rangsangan segera untuk mengurangkan tekanan kos hidup.

Bantuan ini mungkin kecil tetapi berkesan sebagai penyokong perbelanjaan asas rakyat, terutamanya apabila diagihkan melalui lebih 4,000 premis runcit seluruh negara.

Ini kali pertama bantuan tunai universal diberikan kepada 22 juta rakyat. Ia bentuk agihan semula yang berpotensi meringankan beban inflasi makanan, katanya.

Bagaimanapun, jumlah itu menurutnya tidak cukup untuk menampung kos hidup yang bersifat struktur seperti perumahan, pengangkutan dan kesihatan.

Selagi bantuan ini bersifat sementara dan bersasar dalam fasa akan datang, ia tidak akan membebankan kedudukan fiskal negara, katanya.

Menyentuh Program Jualan Rahmah MADANI yang diperluas ke semua 600 kawasan Parlimen dengan peruntukan RM600 juta, Dr Nivakan melihatnya sebagai pelengkap penting kepada usaha kawalan harga barangan asas.

Program ini bantu stabilkan harga bagi golongan B40 terutama di kawasan pedalaman.

Namun jika terlalu kerap atau terlalu murah, ia boleh menjejaskan peniaga kecil dan pengeluar tempatan, jelasnya.

Berkaitan penstrukturan subsidi RON95 kepada harga RM1.99 seliter untuk rakyat Malaysia dan harga pasaran untuk warga asing, beliau menyifatkannya sebagai langkah fiskal strategik.

Ia adil dan mengelakkan ketirisan rentas sempadan. Penjimatan subsidi boleh digunakan semula untuk pendidikan atau kebajikan.

Cabaran pelaksanaan perlu diberi perhatian, termasuk keperluan sistem digital kukuh di stesen minyak bagi membezakan antara warga dan bukan warganegara, selain kawalan terhadap pasaran gelap, jelasnya.

Secara keseluruhan, beliau berkata langkah-langkah ini menunjukkan kemahuan politik yang jelas untuk menangani ketidaksamaan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU