KUCHING: Sarawak merekodkan kadar kelangsungan lima tahun sebanyak 77.3 peratus bagi perusahaan yang ditubuhkan pada 2019 dan masih beroperasi pada 2024, sekali gus mencerminkan keberkesanan inisiatif keusahawanan Kerajaan Sarawak.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh berkata, berdasarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, negeri ini turut merekodkan kadar penutupan yang rendah iaitu 3.2 peratus.
Sejajar dengan perkembangan itu, beliau memaklumkan, seramai 579 usahawan di Sarawak menerima manfaat daripada peruntukan berjumlah RM6 juta menerusi pelbagai inisiatif keusahawanan yang dilaksanakan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) pada 2025.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan ADUN Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, katanya, SEDC turut melaksanakan program pembiayaan kewangan di bawah Pejabat Setiausaha Kewangan Negeri dengan peruntukan berjumlah RM8.4 juta kepada 65 usahawan pada tahun yang sama.
Menurutnya, seramai 6,235 peserta terlibat dalam 122 program bimbingan serta latihan peningkatan kemahiran dan kemahiran semula serta promosi di seluruh Sarawak.
Beliau menambah, kementerian dengan kerjasama SDEC melaksanakan program Sarawak Digital Mall dan Go Digital bagi meningkatkan daya saing dan keupayaan usahawan dalam era ekonomi digital.

