BELAGA: Inisiatif Perkampungan Digital Sungai Asap melengkapkan usaha kerajaan negeri dalam memperluas akses rangkaian telekomunikasi di Sarawak, khususnya di kawasan luar bandar.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Liwan Lagang berkata, projek tersebut sejajar dengan aspirasi Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, untuk menjadikan Sarawak sebuah masyarakat maju berteraskan data dan inovasi menjelang 2030 melalui Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030.

“Dalam PCDS 2030, infrastruktur asas termasuk bekalan elektrik, air bersih dan rangkaian telekomunikasi menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi dan sosial.
“Akses telekomunikasi kini menjadi hak kepada setiap masyarakat termasuk penduduk di luar bandar seperti di Sungai Asap,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Sesi Libat Urus Projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi – Perkampungan Digital Sungai Asap di Dewan Komuniti Sungai Asap pada Jumaat.
Projek ini, katanya memberi manfaat kepada kira-kira 20,000 penduduk, termasuk 15 rumah panjang, tujuh agensi kerajaan, tiga sekolah dan dua rumah ibadat di Kampung Kenyah, Kampung Kayan, Kampung Lahanan, Kampung Penan, Kampung Seping dan Kampung Ukit.
Tegasnya, rangkaian telekomunikasi yang lengkap akan memperkasakan produk kraf tangan tempatan dan inap desa, serta membantu memajukan taraf sosioekonomi penduduk.
“Usaha kerajaan negeri tidak hanya menumpukan perhatian kepada bandar, tetapi turut memastikan pembangunan luar bandar seperti di Sungai Asap mendapat perhatian sewajarnya,” katanya.


