KUCHING: Kerajaan Sarawak bercadang menarik taraf rumah sedia ada dan mengubah rumah-rumah kedai kosong menjadi rumah sewa mampu milik bagi memastikan semua masyarakat di negeri ini tanpa mengira tahap pendapatan mempunyai kediaman sendiri sama ada menerusi pembelian terus atau secara sewaan.
Timbalan Premier merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, cadangan itu akan dibawa ke RMK-14 dengan manfaat kepada semua lapisan masyarakat, termasuk bantuan sewaan RM200 daripada Kerajaan Sarawak.
“Di Kuching sahaja ada sekurang-kurangnya 10,000 unit rumah kedai, dan tingkat tiga dan empat biasanya kosong. Jadi dalam RMK-14, saya ingin mengusulkan cadangan ini untuk generasi kita pada masa hadapan.
“Bagi saya, daripada kita membina rumah mampu milik untuk disewa, lebih baik kita mencari dana – mengubah rumah-rumah kedai kosong, kemudian tandatangan perjanjian sewaan, dan sewa terus dari situ,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran pembangunan kediaman “Canning Residences” di sebuah hotel di Kuching, hari ini.
Menurut Sim, di bawah RMK-13, Unit Perancangan Ekonomi (EPU) telah mencadangkan agar Sarawak membina 20,000 unit rumah mampu milik, dalam erti kata lain merupakan lonjakan besar berbanding 3,000 unit ditetapkan pada RMK-12.
Cadangan menubuhkan jumlah rumah mampu milik yang lebih banyak dijangka menimbulkan isu tanah iaitu tanah baharu diperlukan dan secara tidak langsung ia membabitkan tanah di kawasan jauh dari bandar.

Beliau percaya inisiatif menaik taraf rumah kedai kosong dijadikan kediaman sewa sedikit sebanyak akan menyelesaikan isu kos pembinaan rumah mampu milik serta keperluan untuk pembelian kenderaan .
“Kalau tidak bijak, kita akan rugi. Sekiranya inisiatif ini dapat diserapkan dalam program kerajaan, sekurang-kurangnya tingkat tiga dan empat bangunan kedai dalam bandar boleh diduduki, kelebihannya tidak perlu kereta, tidak menghadapi kesesakan trafik, mereka boleh menikmati suasana bandar,”katanya.
Sim menambah, inisiatif itu dilihat akan menghidupkan suasana bandar menjadi lebih meriah dengan kehadiran manusia pada jumlah yang lebih ramai. Pada masa sama, kawasan bandar akan menjadi lebih hidup. Ini merupakan rancangan jangka masa panjang.





